Faisal Halim meminta rakan sepasukan supaya tidak terganggu dengan tekanan atau provokasi daripada penyokong Indonesia ketika Harimau Malaya turun beraksi di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), esok.
Menurutnya, pemain perlu mengekalkan fokus serta memastikan persiapan mental berada pada tahap terbaik kerana perhatian utama mereka adalah tugasan di atas padang.
“Kita tak perlu risau atau khuatir dengan provokasi penyokong Indonesia. Apa yang saya harap, semua rakan-rakan bersiap sedia secara fizikal dan mental,” katanya.
Faisal menegaskan bahawa suasana di luar padang tidak sepatutnya mempengaruhi permainan kerana keputusan perlawanan tetap ditentukan oleh aksi kedua-dua pasukan dalam tempoh 90 minit.
“Di dalam padang, kita hanya bermain 11 lawan 11. Keputusan kita yang mengatur di dalam padang, penyokong dan peminat hanya boleh memberi semangat dan sorakan,” katanya.
Malah, Faisal melihat kehadiran penyokong Indonesia sebagai sebahagian daripada suasana bola sepak yang perlu dihadapi pemain Harimau Malaya.
“Kita menganggap peminat Indonesia itu adalah peminat kita sendiri juga untuk memberi semangat kepada pasukan kita,” katanya.
Dalam masa sama, Faisal tidak mahu perhatian diberikan kepada mana-mana pemain tertentu dalam skuad Garuda kerana ancaman Indonesia perlu dilihat secara menyeluruh.
“Kita tak tumpu kepada satu pemain, kita tumpu kepada keseluruhan pasukan. Pasukan Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi Indonesia,” katanya.
Faisal turut mengharapkan sokongan rakyat Malaysia yang berada di tanah air mahupun menyaksikan perlawanan menerusi televisyen agar terus memberikan semangat kepada skuad negara.
“Saya berharap semua rakyat Malaysia yang di Malaysia ataupun melihat di TV dapat menyokong pasukan Malaysia, memberikan semangat dan doa untuk pasukan Malaysia bersaing pada malam esok,” katanya.
Harimau Malaya akan berdepan Indonesia dalam aksi kedua FIFA ASEAN Cup di GBK, esok jam 8.30 malam waktu Malaysia.