PERUNTUKAN RM730 juta bagi pembangunan sukan dan persiapan penganjuran Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027 membuktikan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem sukan negara yang lebih kukuh, termasuk melahirkan generasi baharu atlet badminton berprestasi tinggi.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 yang disifatkan mampu memperkukuh pembangunan atlet daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.

Menerusi peruntukan keseluruhan itu, sebanyak RM460 juta disediakan bagi pembangunan sukan negara, RM240 juta untuk persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, manakala RM30 juta diperuntukkan bagi Geran Padanan Sukan (GPS).

Tengku Zafrul berkata, peningkatan 50 peratus peruntukan aktiviti sukan sekolah kepada RM27 juta yang bakal memberi manfaat kepada lebih 4.6 juta murid turut menjadi perkembangan positif dalam usaha mencungkil bakat baharu.

“Bagi badminton, pembangunan bakat mesti bermula di peringkat akar umbi. Justeru, peningkatan 50 peratus peruntukan aktiviti sukan sekolah kepada RM27 juta, yang bakal memanfaatkan lebih 4.6 juta murid, amat dialu-alukan,” katanya.

Beliau menegaskan pembangunan pemain tidak seharusnya terhenti di peringkat sekolah, sebaliknya perlu disokong dengan laluan yang jelas menerusi kelab, persatuan badminton negeri dan program pembangunan kebangsaan bagi memastikan bakat berpotensi dapat terus diasah.

“BAM turut mengalu-alukan peruntukan RM30 juta menerusi GPS bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi. Bagi badminton, lebih banyak kejohanan berkualiti bermakna lebih banyak peluang untuk pemain tempatan menguji kemampuan, berdepan lawan yang lebih kuat dan mengumpul pengalaman sebelum bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kejayaan badminton negara tidak boleh hanya bergantung kepada kelompok pemain terbaik ketika ini, sebaliknya memerlukan sistem pembangunan yang konsisten, kejurulatihan berkualiti serta sokongan sains sukan menyeluruh bagi memastikan pelapis bersedia mengambil alih apabila seseorang pemain bersara.

“Cabaran kita ialah memastikan apabila seorang juara bersara, sudah ada pemain pelapis yang bersedia mengambil tempatnya. Ini memerlukan pembangunan bakat yang konsisten, kejurulatihan berkualiti dan sokongan sains sukan yang menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, BAM akan meneliti peluang memanfaatkan peruntukan Belanjawan 2027, khususnya GPS, bersama persatuan negeri dan rakan korporat untuk memperkukuh penganjuran kejohanan serta meningkatkan pendedahan pemain pelapis, selain memastikan persiapan skuad badminton negara menghadapi Sukan SEA 2027 terus menjadi keutamaan.