TELEKOM Malaysia (TM) terus mengorak langkah besar untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri sukan negara menerusi pelbagai kerjasama strategik yang dilihat mampu memperkukuh ekosistem sukan Malaysia.
Terbaharu, syarikat telekomunikasi dan teknologi negara itu menjalin kerjasama hak penamaan selama tiga tahun membabitkan dua venue ikonik negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.

CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris yakin mampu menyemarakkan lagi keleatarian sukan negara.
Kerjasama berkenaan menyaksikan kedua-dua venue tersebut dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena sekali gus menandakan langkah baharu dalam memperkukuh peranan sektor korporat dalam pembangunan sukan negara.
Bagi TM, penglibatan itu bukan sekadar sokongan biasa sebaliknya sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membantu memperkasa infrastruktur sukan serta meningkatkan pengalaman penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Malaysia.

SNBJ kini bergelar TM Stadium Nasional.
Inisiatif berkenaan juga dilihat mampu memastikan venue nasional terus relevan sebagai lokasi utama penganjuran acara sukan, hiburan dan konsert berskala besar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan venue nasional yang begitu bersejarah kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, kedua-dua stadium berkenaan sekian lama menjadi lokasi rakyat Malaysia berkumpul bagi memberi sokongan kepada atlet serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah negara.

Stadium Putra pernah memakai gelaran Axiata Arena, kini bertukar kepada Unifi Arena.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain pembangunan infrastruktur sukan, TM turut memainkan peranan aktif dalam menyokong penyertaan atlet negara dalam pelbagai kejohanan antarabangsa melalui kerjasama bersama badan sukan tempatan.
Komitmen berterusan syarikat korporat itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa penglibatan sektor swasta mampu menjadi pemangkin penting dalam memacu kemajuan industri sukan Malaysia.