FOTO-FOTO terkini yang diambil di tapak pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya, memberi gambaran optimistik terhadap perkembangan projek yang dirasmikan enam bulan lalu pada 26 Jun 2024.
Dengan visi menyediakan kemudahan bola sepak bertaraf antarabangsa, projek NTC kini sedang giat dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Fasa 1 projek NTC merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan spesifikasi unik iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial).
Setiap padang dilengkapi dengan lampu limpah berkapasiti tinggi untuk membolehkan sesi latihan dan perlawanan pada waktu malam.
Sistem saliran berkualiti tinggi turut disediakan bagi memastikan padang kekal kering dan selamat digunakan, walaupun dalam keadaan hujan lebat. Persekitaran padang dihiasi landskap menarik, manakala pagar setinggi enam meter dipasang untuk keselamatan dan privasi.
Menurut perkongsian Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Fasa 1 dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026, memberikan Malaysia akses kepada kemudahan bola sepak bertaraf antarabangsa.
Selepas pembinaan padang, Fasa 2 akan menyusul dengan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur sokongan yang lengkap.
Ini termasuklah sebuah bangunan berkeluasan 1,682.8 meter persegi yang menempatkan gimnasium moden, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi, dan surau. Manakala, pembinaan bumbung khas untuk padang rumput tiruan bagi membolehkan penggunaan dalam cuaca ekstrem.
Kerja-kerja untuk Fasa 2 dijalankan secara serentak dengan Fasa 1 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.
Projek NTC dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak Malaysia, menyediakan fasiliti latihan bertaraf dunia untuk pasukan kebangsaan, akar umbi, serta pemain muda berbakat.
Dengan kemudahan ini, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk melahirkan generasi baharu pemain yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Foto-foto terkini di tapak pembinaan menunjukkan kesungguhan pihak pemaju dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini berjalan lancar. Dengan jadual kerja yang ketat dan perancangan rapi, NTC di Putrajaya bakal menjadi pusat tumpuan bagi kemajuan bola sepak tanah air.
Pembangunan NTC ini sekali gus menyokong aspirasi jangka panjang negara untuk meningkatkan prestasi bola sepak Malaysia di peringkat serantau dan global.
FOTO : FAM