Kredit Gambar: Nhac Nguyen

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mencadangkan peningkatan pelaburan pembangunan bola sepak global kepada AS$6.35 bilion (kira-kira RM25.92 bilion), melibatkan 211 ahli persatuan bola sepak negara, konfederasi dan pihak berkepentingan lain bagi tempoh 2027 hingga 2030.

Cadangan menerusi Program FIFA Surplus Solidarity itu dibentangkan dalam mesyuarat pertama Majlis FIFA di Zurich, Switzerland, selepas kejayaan komersial luar biasa Piala Dunia 2026 yang disertai 48 pasukan. Presiden FIFA, Gianni Infantino, turut menyeru perpaduan dalam kalangan anggota badan induk itu dan menegaskan komitmen untuk memperluas akses serta pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

Menurut FIFA, unjuran lebihan kewangan bagi kitaran 2023 hingga 2026 dianggarkan antara AS$5.2 bilion hingga AS$5.6 bilion, berdasarkan ramalan yang belum diaudit. Sebahagian daripada rizab FIFA dicadangkan digunakan bagi meningkatkan peruntukan pembangunan, dengan AS$1.7 bilion dikekalkan sebagai rizab bagi menghadapi keadaan luar jangka.

Jika diluluskan, setiap persatuan ahli FIFA berpotensi menerima peruntukan sehingga AS$25 juta bagi tempoh berkenaan. Agihan kepada konfederasi, persatuan zon dan serantau serta pihak berkepentingan lain turut dicadangkan meningkat, dengan pemberian dikaitkan kepada pembangunan bola sepak wanita dan belia, projek jangka panjang serta infrastruktur sukan.

Infantino berkata peningkatan pelaburan itu mencerminkan komitmen FIFA untuk membantu pembangunan bola sepak secara menyeluruh. Beliau turut menegaskan bahawa dana dan rizab FIFA adalah milik 211 persatuan ahlinya, sambil menggesa semua pihak melihat kepentingan bola sepak global sebagai keutamaan.

Dalam mesyuarat sama, Infantino turut memohon maaf atas kelemahan dalam pengendalian dan komunikasi berhubung cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang mencetuskan kritikan beberapa pihak sejak beberapa bulan lalu. Beliau mengesahkan inisiatif itu ditarik balik secara kekal dan tidak akan diperkenalkan semula dalam apa-apa bentuk, walaupun matlamat asalnya adalah untuk meningkatkan serta menyalurkan pelaburan bola sepak dengan lebih berkesan.

Majlis FIFA turut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja yang merangkumi wakil daripada pelbagai konfederasi bagi meneliti kemungkinan pembaharuan terhadap rangka kerja tadbir urus badan induk itu. Pada masa sama, Jawatankuasa Tanggungjawab Sosial Bola Sepak FIFA diminta menilai FIFA Peace Prize, dengan keputusan dijangka dibuat pada mesyuarat Majlis FIFA seterusnya pada Disember 2026.

Selain itu, prosedur disiplin FIFA akan dikaji semula oleh Jawatankuasa Perundangan susulan keputusan menggantung penguatkuasaan penggantungan satu perlawanan terhadap pemain Amerika Syarikat, Folarin Balogun, bagi tempoh percubaan selama setahun selepas beliau dibuang padang ketika menentang Bosnia dan Herzegovina dalam Piala Dunia 2026. Perkembangan kajian itu juga akan dibentangkan pada mesyuarat Disember nanti.

Cadangan Program Solidariti Lebihan FIFA itu akan diperhalusi oleh jawatankuasa berkaitan sebelum dibentangkan kepada Majlis FIFA pada Disember 2026. Pelan berkenaan, termasuk syarat kelayakan, permohonan, kelulusan, pengagihan, kawalan dan audit, seterusnya perlu mendapat kelulusan Kongres FIFA ke-77 pada Mac 2027 sebelum dapat dilaksanakan.