SETELAH sekian lama dipertandingkan dalam format lama dengan gabungan peringkat kumpulan dan kalah mati, kini pertandingan bola sepak tertua Asia, Piala Malaysia bakal menggunakan format baharu.

Format baharu ini menyaksikan tiada lagi peringkat dengan kesemua pasukan bertanding akan terus ke peringkat 16 pasukan terbaik dengan konsep ‘home and away’ sekaligus meningkatkan intensiti pertandingan ini dan juga nilai komersilnya kepada penonton dan penaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam menyatakan format tahun ini terpaksa diubah akibat jadual yang padat selepas beberapa perlawanan terpaksa ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19 dan juga bagi memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan.

 

Perubahan format ini juga dianggap baik kerana ianya akan memberikan semua pasukan peluang sama rata untuk layak ke final sekaligus dapat menjana pendapatan menerusi kutipan tiket kerana intensiti perlawanan yang tinggi.

Stuart yang ditemui di Ekspo Industri Sukan juga tidak menolak kemungkinan format ini dikekalkan pada masa akan datang kerana jadual yang lebih panjang akan diharungi kesemua pasukan bermula tahun hadapan dengan pertambahan pasukan.

Stuart Ramalingam

“Format kalah mati ini bukanlah format baharu kerana pernah dilangsungkan sebelum ini. Tahun ini format ini terpaksa dilakukan apabila ada 16 perlawanan yang terpaksa ditunda akibat penularan Covid-19 pada awal tahun selain tugasan negara untuk Kelayakan Piala Asia dan Sukan Sea.

“Perubahan format ini juga adalah baik untuk mengelak kecederaan dalam permainan selain faktor logistik kerana pertandingan kali ini mungkin terpaksa dilangsungkan dalam musim hujan.

“Jika dilihat, perlawanan yang paling berharga dalam Piala Malaysia adalah perlawanan kalah mati. Kini, semua perlawanan menjadi amat berharga buat pasukan, penyokong dan penaja dan format ini mungkin dikekalkan pada masa akan datang kerana MFL mementingkan kualiti permainan berbanding kuantiti.

“Dengan ini, nilai komersil Piala Malaysia akan meningkat kerana pusingan kalah mempunyai nilai yang tinggi kerana mana-mana pasukan boleh muncul juara selain format ‘home and away’ yang boleh membantu pasukan mengaut keuntungan ketika perlawanan di tempat sendiri dan sekaligus mampu meningkatkan nilai pertandingan,” kata Stuart.

 

Pengelola Liga Malaysia itu juga turut mengesahkan perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2022 di venue neutral dan pihaknya sudah pun berbincang dengan pemilik venue dan akan melakukan pengumuman kelak.

Dalam perkembangan lain, undian Piala Malaysia 2022 telah pun dijalankan dengan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC diundi dalam laluan yang sukar manakala juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim dilihat mendapat laluan yang lebih mudah namun ianya bukan jaminan kejuaraan dalam pertandingan piala secara kalah mati ini.