BELUM reda luka tragedi Kanjuruhan yang meragut 135 nyawa, bola sepak Indonesia sekali lagi tercalar dek sikap ganas penyokong sendiri, kali ini melibatkan seorang lelaki yang ditahan kerana mengacukan pistol dalam kejadian rusuhan penyokong di Cikarang Utara.
Menurut laporan Kompas, lelaki terbabit ditahan polis selepas dilihat mengangkat sepucuk pistol ketika pergaduhan tercetus antara dua kumpulan penyokong yang bertembung semasa sambutan kemenangan secara konvoi.
Apa yang sepatutnya menjadi pesta, bertukar menjadi satu episod menakutkan cukup untuk menampakkan sisi gelap bola sepak Indonesia yang masih belum diselesaikan.
Lelaki tersebut mendakwa senjata itu hanyalah pistol mainan yang digunakan untuk menakut-nakutkan penyokong lawan. Namun hasil ujian air kencingnya yang positif methamphetamine jelas membuktikan keganasan itu bukan semata-mata emosional, tetapi turut didorong pengaruh dadah.

Sejurus selepas pergaduhan itu, lelaki itu ditahan pegawai dan segera menjalani pemeriksaan intensif di Ibu Pejabat Polis Cikarang Utara.
Insiden ini bukan pertama kali, malah sudah menjadi ‘budaya’ yang meresap dalam kalangan ultras Indonesia. Pihak berkuasa negara jiran itu berulang kali dilihat gagal mengekang budaya hooliganisme yang bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah memburukkan nama bola sepak rantau ASEAN.
Jika Malaysia dan Thailand sibuk mengukuhkan pentas profesional mereka dengan liga yang lebih tersusun dan penyokong yang semakin matang, Indonesia masih bergelut dengan penyokong yang lebih seronok bertarung sesama sendiri daripada menyokong pasukan dengan cara bertamadun.
Persoalannya kini sampai bila bola sepak Indonesia mahu terus dibayangi keganasan penyokong yang sudah jelas menjadi barah dalam sistem bola sepak mereka?
Kita di Malaysia, walaupun ada kelompok fanatik, masih terkawal dan mampu meraikan perbezaan dengan semangat kesukanan.
Maka inilah waktunya penyokong-penyokong sejati di rantau ini bangkit menolak budaya ganas dan mula mendidik penyokong baru untuk menyokong dengan bijak.