BAHANG perlawanan antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC menjelang aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia kian terasa apabila 10,000 tiket secara atas talian telah habis dijual sejak Selasa.
Namun, maklumat terkini yang telah dimuat naik dari laman sosial rasmi Instagram Terengganu FC iaitu mereka bakal membuka 20,000 lagi tempat duduk kepada penonton yang ingin hadir melalui penjualan tiket secara fizikal.
Difahamkan mereka akan mula menjual tiket fizikal bermula 2 November hingga hari perlawanan di Kaunter A dan C Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Seperti yang dijangkakan, stadium terbesar di Pantai Timur itu nanti bakal dibanjiri oleh 30,000 para penyokong daripada kelab tuan rumah dan peminat daripada The City Boys yang pastinya mengharapkan pasukan mereka bakal ke pentas akhir Piala Malaysia.
Untuk imbas kembali perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia antara skuad Sang Penyu dan The City Boys 21 Oktober lalu, Terengganu telah memiliki kelebihan selepas mendahului pada aksi tersebut dengan agregat semasa 2-1.

Da Silva pernah bekerjasama dengan Nafuzi ketika menyarung jersi Terengganu FC.
Jadi jelas bahawa perhitungan sengit antara kedua-dua pasukan bakal terjadi dalam aksi kedua perlawanan nanti apabila KL City FC yang ingin melakukan kebangkitan dan mengejar skuad Sang Penyu itu.
Pertembungan ini dijadualkan berlangsung pada 3 November 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dan sepak mula tepat jam 9 malam.
KL City berharap dapat mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menjuarai edisi 2021 manakala kali terakhir TFC ke perlawanan akhir adalah pada tahun 2018.