Saingan Grand Prix (GP) Liga Premier Sepak Takraw League (STL) 2026 bakal menyaksikan 12 pasukan bersaing dalam format empat kumpulan bagi merebut gelaran juara, dengan tujuh sirkit dijadualkan berlangsung di seluruh negara.

Berdasarkan format pertandingan yang dikongsikan STL, kesemua 12 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap kumpulan menempatkan tiga pasukan. Peringkat kumpulan menggunakan format round-robin, dengan perlawanan berlangsung dari Rabu hingga Jumaat.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke suku akhir, manakala empat juara kumpulan diberikan status pilihan dan ditempatkan pada kedudukan 1, 3, 5 dan 7 dalam carta kalah mati.

Empat naib juara kumpulan pula akan ditempatkan melalui undian bagi menentukan lawan di peringkat suku akhir. Perlawanan kalah mati dijadualkan berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Bagi memastikan laluan ke final kekal seimbang, pasukan daripada kumpulan sama tidak dibenarkan bertemu pada peringkat suku akhir. Jika undian menghasilkan pertemuan sedemikian, proses undian akan diulang sehingga syarat berkenaan dipenuhi.

Dalam pada itu, pengumpulan mata setiap pasukan turut menjadi aspek penting sepanjang tujuh sirkit GP Liga Premier musim ini. Juara akan memperoleh 32 mata, diikuti naib juara dengan 28 mata dan tempat ketiga sebanyak 24 mata.

Pasukan di tempat keempat pula meraih 21 mata, manakala pasukan yang tewas di suku akhir memperoleh 15 mata. Pasukan yang gagal ke suku akhir tetapi memenangi satu perlawanan akan mengutip lapan mata, sementara pasukan yang tewas dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan tidak memperoleh sebarang mata.

Sebanyak tujuh sirkit GP akan berlangsung sepanjang STL 2026 Liga Premier, bermula di Perak sebelum diteruskan ke Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor, sebelum tirai saingan dilabuhkan di Selangor.

Keseluruhan sirkit itu bakal menjadi medan buat setiap pasukan mengumpul mata secara konsisten dalam usaha memburu kedudukan terbaik sepanjang musim.