LEMBAGA Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengucapkan selamat bersara kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang menamatkan perkhidmatan di agensi tersebut pada Khamis.
Sepanjang perjawatan beliau sebagai Ketua Pengarah MSN mulai 2014 hingga 2023, Ahmad Shapawi bukan sahaja menjadi perancang strategik untuk pembangunan sukan prestasi tinggi sukan negara malah menganggotai Lembaga Eksekutif MOM dan Jawatankuasa Pemilihan MOM yang tegas menyaring proses pemilihan atlet ke Temasya Pelbagai Sukan dibawah bidang kuasa MOM.
“Bagi pihak MOM, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Ahmad Shapawi di atas segala sumbang bakti dan tindakan-tindakan beliau yang kadangkala dilihat tidak popular tetapi penting dalam memacu pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.
“Sebagai seorang individu yang turut memiliki pengalaman memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, saya percaya pengalaman Datuk Ahmad Shapawi ditagih untuk terus menyumbang tenaga dan daya fikir kepada arena sukan negara dalam apa jua kapasiti,” kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Shapawi memulakan khidmatnya dengan MSN sebagai Pegawai Belia dan Sukan pada 1988 hingga 1996, Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa (1996-2005), Pengarah Bahagian Dasar (2005-2007) dan Pengarah Bahagian Atlet (2007-2012).
Beliau kemudian bertukar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN) dari 16 Jun 2012 hingga 16 Jun 2013 sebelum dilantik selaku Pesuruhjaya Sukan dari 17 Jun 2013 hingga 18 Disember 2014.