PASUKAN AZ Slumber dari Perak merangkul gelaran juara bagi kategori PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile pada Kejohanan Mobile Legends Esports League (MEL) 2024 yang berlangsung pada Ahad.
Salah seorang peserta pasukan tersebut, Muhamad Nurazmi Nazri mengakui sangat teruja dengan kemenangan ini.
“Alhamdulillah, saya sangat bangga kerana berjaya menjadi juara MEL PUBG 2024.

Muhamad Nurazmi Nazri ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan Mobile Legends Esports League (MEL) 2024
“Kita kena sentiasa disiplin dan tidak lupa untuk menjaga mental serta fizikal kerana itu sangat penting dalam kejohanan besar seperti ini,” kongsinya yang berusia 17 tahun.
Kejohanan ini bukan pengalaman pertama bagi Nurazmi dan pasukannya memandangkan tahun lalu turut menyertai, namun kejayaan tidak berpihak kepada mereka.
“Tahun lepas, kami pulang dengan tangan kosong, tetapi tahun ini Alhamdulillah kami berjaya menjadi juara,” tambahnya.

Jelas terpancar kegembiraan diwajah Muhamad Nurazmi Nazri selepas berjaya menjadi juara kategori PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile
Menurut Nurazmi, pasukan Kedah dan Pulau Pinang merupakan rival utama mereka dalam kejohanan ini, dengan pasukan-pasukan dari negeri tersebut sering kali menampilkan pemain-pemain berkemahiran tinggi dan taktikal yang hebat.
Dengan kemenangan ini, AZ Slumber bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, malah layak secara automatik ke Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC).
Mengimbas perancangan masa depan, Nurazmi optimis mengenai cabaran seterusnya. “Insya-Allah, kami akan beraksi di Sukma 2026 dan berlawan di sana nanti,” jelas Nurazmi.
Pasukan AZ Slumber yang terdiri daripada lima pemain berbakat, iaitu Fhaqkroul Aieman Eizaad Shamsudin, Muhammad Haikal Adam Razak, Muhammad Nor Azmie Nazrie, Shairazi Mohd Radzuan dan Muhd Faliq Fitri Mohd Faizul.
Dengan kemenangan ini, AZ Slumber terus mencatat nama sebagai antara pasukan PUBG Mobile yang perlu diberi perhatian, membawa harapan tinggi untuk terus mendominasi kejohanan-kejohanan e-sukan di masa hadapan.