TIGA jurulatih badminton kebangsaan mendapat manfaat daripada jawatankuasa Road to Gold (RTG), apabila diumumkan bakal menerima kenaikan gaji, menerusi insentif jawatankuasa itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tiga jurulatih utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Herry Iman Pierngadi (ketua jurulatih beregu lelaki), Rosman Razak (ketua jurulatih beregu wanita) dan Nova Widianto (ketua jurulatih beregu campuran), bakal menerima tambahan gaji, sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka yang berjaya menghasilkan peningkatan ketara pemain beregu negara.

“RTG komited untuk membantu menambah gaji ketiga-tiga jurulatih ini sebagai usaha memperkukuh lagi prestasi pemain kebangsaan, terutama dalam misi memburu emas Olimpik pertama negara,” kata Hannah, dalam sidang media khas jawatankuasa RTG di Menara KBS, Putrajaya.

Tambah beliau, badminton kekal sebagai antara sukan utama negara, menerima peruntukan sebanyak RM8 juta disalurkan kepada BAM menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini.

“RM4.5 juta untuk atlet (badminton) podium, RM1.3 juta bagi pemain pelapis kebangsaan dan terbaharu, RM2.2 juta diperuntukkan untuk pembangunan pemain,” ujarnya.

Kejayaan beregu negara menjuarai empat gelaran dalam tempoh tiga minggu berturut-turut menjadi bukti pencapaian luar biasa, termasuk kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah di Terbuka Thailand, Man Wei Chong-Tee Kai Wun di Malaysia Masters serta kejayaan Aaron-Wooi Yik menebus kekecewaan dengan menjuarai Terbuka Singapura minggu lalu.

Malah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini kembali ke ranking keempat dunia diikuti pasangan muda, Hoo Pang Tong-Cheng Su Yin kini berada di kedudukan ke-13.