Kedah Eagles mencipta kejutan dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Premier 2026 GP Penang apabila menewaskan PDRM Defenders 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Kedah Eagles yang berstatus juara Division 1 apabila berjaya menundukkan PDRM Defenders, juara GP Perak, menerusi aksi meyakinkan dalam perlawanan ke-13 kejohanan.

Kedah mempamerkan corak permainan tersusun dan konsisten untuk mengatasi PDRM 15-13 pada set pertama sebelum melengkapkan kemenangan dengan keputusan 15-12 pada set kedua.

Kemenangan tanpa kehilangan set itu membuktikan keupayaan Kedah Eagles untuk bersaing dengan pasukan terbaik dalam saingan Premier, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan.

Sementara itu, Perak Bison turut memastikan kemaraan mereka terus terpelihara selepas menundukkan Johor Tigris 2-1 dalam satu lagi aksi yang berlangsung sengit.

Perak memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila menguasai set pertama 15-7, namun Johor bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 15-7 pada set kedua.

Bagaimanapun, Perak Bison kembali menguasai permainan pada set penentuan untuk mencatat kemenangan 15-5, sekali gus mengesahkan kejayaan 2-1 dalam perlawanan ke-14 GP Penang.

Keputusan itu menyaksikan Kedah Eagles dan Perak Bison meneruskan cabaran ke separuh akhir dengan Kedah bakal berdepan sama ada Melaka Titans atau Negeri Sembilan Antlers.

Perak Bison pula akan menunggu pemenang antara ATM Guardians dan Kelantan Warriors bagi menentukan lawan mereka di peringkat separuh akhir.