Sebanyak 11 kelab bola sepak Malaysia berdepan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dengan jumlah keseluruhan mencecah 33 kes berdasarkan semakan pada laman rasmi badan induk itu.

Angka berkenaan meletakkan Malaysia sebagai negara ASEAN dengan jumlah kes sekatan pendaftaran pemain tertinggi, mengatasi Indonesia yang merekodkan 21 kes, Thailand (sembilan), Filipina (enam), Vietnam (dua) dan Myanmar (satu).

Kelantan Red Warrior (KRW) FC, yang beraksi dalam Liga Super musim ini, muncul kelab paling terjejas dengan sembilan kes. Bagaimanapun, sekatan itu dilaporkan berkait tuntutan tunggakan gaji daripada bekas pemain Kelantan FC, bukannya kesalahan yang dilakukan secara langsung oleh KRW FC.

Perkara itu dikaitkan dengan dakwaan bahawa KRW FC mempunyai entiti yang sama dengan Kelantan FC, kelab yang sebelum ini beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tetapi tidak lagi bersaing dalam liga berkenaan.

Sekatan itu turut menjejaskan usaha KRW FC memperkukuh pasukan menerusi pendaftaran pemain baharu. Situasi berkenaan hadir ketika kelab itu bergelut dalam saingan Liga Super apabila berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Bekas kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC, merekodkan enam kes untuk berada di tempat kedua dalam senarai kelab Malaysia yang dikenakan sekatan. Kelantan The Real Warriors pula mempunyai empat kes, manakala Kelantan FC dan PDRM FC masing-masing merekodkan tiga kes.

Perlis FA dan Gombak FC masing-masing berdepan dua kes, sementara Perak FC, Terengganu FC serta Kuala Lumpur City FC mencatatkan satu kes setiap satu.

Bagi KL City, kelab itu kembali disenaraikan selepas sekatan terdahulu dilaporkan sudah ditarik balik. Kes terbaharu yang mula diaktifkan pada 15 Oktober lalu membabitkan tuntutan faedah oleh bekas pemain import, Patrick Reichelt.

Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar, sebelum ini dilaporkan menjelaskan tuntutan faedah itu berpunca daripada kelewatan pembayaran gaji Reichelt pada 2024.

Di peringkat global, senarai FIFA merekodkan kira-kira 1,250 kes sekatan pendaftaran pemain. Turkiye mencatatkan jumlah tertinggi dengan 228 kes, diikuti Libya (143), Greece (58), China (47), Romania (45) dan Bolivia (39).

Beberapa negara yang mempunyai reputasi besar dalam bola sepak turut tersenarai, termasuk Brazil dengan 21 kes, Argentina (17), Portugal (16), Belgium (sembilan), Itali (lapan), Sepanyol (lima) dan Perancis (empat).

Jumlah itu menunjukkan isu sekatan pendaftaran pemain bukan hanya melibatkan kelab di Malaysia, malah turut membabitkan pasukan dari pelbagai liga di seluruh dunia.

Namun, kedudukan Malaysia sebagai negara ASEAN dengan kes tertinggi menonjolkan cabaran yang perlu diberi perhatian oleh kelab tempatan dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan kewangan dan tuntutan pemain.