Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya memberikan persembahan terbaik bagi menghadapi cabaran China dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 14 November ini.

Beliau mengakui skuad kendalian lawan mempunyai kelebihan dari segi kedudukan ranking dunia, namun situasi itu tidak menghalang Malaysia daripada memasang impian untuk mencatat keputusan positif.

Menurut Cheng Hoe, setiap perlawanan pastinya menjadi peluang buat pasukannya memburu kemenangan, termasuk mencipta kejutan ketika berdepan pasukan yang mempunyai kedudukan lebih baik.

“Ya, kita tahu pasukan China berada dalam satu ranking yang lebih baik daripada pasukan kebangsaan kita. Dan kita sebagai jurulatih, kami pun ingin dapatkan keputusan yang positif menentang China nanti.

“Memang mana-mana jurulatih pun, mana-mana perlawanan pun, kita inginkan kemenangan juga. Dan kita ingin juga cipta satu kejutan menentang China,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan cabaran yang bakal menanti Harimau Malaya memandangkan kekuatan kedua-dua pasukan mempunyai perbezaan tersendiri.

Justeru, Cheng Hoe berharap semua pemain yang mendapat peluang kali ini dapat memanfaatkan kepercayaan diberikan dengan mempamerkan aksi berkualiti sepanjang perlawanan.

“Tetapi kita tahu kekuatan China dan kekuatan pasukan kita juga agak berbeza. Kita mengharapkan pemain-pemain yang kali ini memberi satu persembahan yang terbaik untuk perlawanan menentang pasukan China nanti,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berkenaan turut berharap Harimau Malaya mampu mengulangi pencapaian positif ketika berdepan China pada 2023 apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Keputusan tersebut pastinya menjadi suntikan keyakinan buat skuad negara untuk sekali lagi memberikan tentangan sengit kepada Dragon Team dalam pertemuan kali ini.