PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan tinggi kepada peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz bagi memperkukuh pembelaan mereka susulan hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan.
Vittoz merupakan peguam daripada firma ternama Charles Russell Speechlys berpangkalan di Zurich, Switzerland — antara firma yang sering mengendalikan kes di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Reputasinya sebagai pakar dalam prosiding sukan bertaraf dunia menjadikan beliau figura penting dalam usaha mempertahankan maruah bola sepak Malaysia ketika ini.
Sepanjang kerjayanya, Vittoz banyak terlibat dalam memberikan nasihat dan mewakili pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor sukan, termasuk pengurusan organisasi, urusan politik dan pertikaian komersial. Beliau juga berpengalaman luas berdepan Tribunal FIFA, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan Tribunal Persekutuan Switzerland — menjadikan kepakarannya antara yang paling dihormati di arena global.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend, menyifatkan pelantikan Vittoz sebagai langkah penting dalam memastikan pemain warisan dilindungi dan reputasi pasukan kebangsaan terus terpelihara.
“Kami perlu melindungi pemain kerana mereka wira. Mereka sudah berkorban demi Malaysia, jadi kami segera mendapatkan pasukan peguam terbaik bertaraf dunia. Kami mahu lawan isu ini dengan adil dan telus,” katanya.
Vittoz sebelum ini pernah mewakili beberapa persekutuan sukan antarabangsa dalam kes berprofil tinggi di CAS selain memberi nasihat kepada beberapa pemain profesional dan organisasi bola sepak yang kemudiannya berjaya menyertai Piala Dunia FIFA 2018 dan 2022. Beliau turut memainkan peranan penting dalam audit tadbir urus dan reformasi peraturan organisasi sukan ke arah pematuhan piawaian antarabangsa.
Dengan pengalaman luas serta kredibiliti yang diiktiraf dunia, langkah FAM membawa masuk Vittoz dianggap strategi terbaik untuk memulihkan keyakinan penyokong dan komuniti bola sepak tempatan. Dalam krisis yang mencabar ini, FAM jelas tidak mahu sekadar mempertahankan diri — tetapi berusaha membuktikan bahawa integriti bola sepak Malaysia masih teguh di mata dunia.