Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid terpaksa meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan di China dan pulang ke Malaysia atas urusan keluarga.
Perkara itu disahkan Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memaklumkan pemain Kuching City FC berkenaan berlepas pulang ke tanah air pada Khamis (12 November 2026).
Menurut Cheng Hoe, Safawi terlebih dahulu memaklumkan mengenai masalah yang dihadapinya sebelum pihak pengurusan pasukan memahami situasi tersebut dan menghormati keputusannya untuk pulang.
“Pihak pengurusan pasukan kebangsaan memahami situasi yang dihadapi Safawi dan kami menghormati keputusan beliau untuk pulang ke Malaysia atas sebab urusan keluarga,” katanya.
Perkembangan itu menyaksikan Harimau Malaya kehilangan khidmat Safawi ketika pasukan sedang membuat persiapan menghadapi dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 dalam jendela antarabangsa November ini.
Skuad negara dijadual berdepan tuan rumah, China pada Sabtu, 14 November sebelum menentang Yemen tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November.
Kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China.