Jelajah Promosi @Pantai Timur bakal membawa semangat Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14, Malaysia 2027 kepada masyarakat di tiga negeri Pantai Timur menerusi program yang berlangsung dari 20 hingga 23 November ini.
Program anjuran Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 itu melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran serta mengajak rakyat menyokong penganjuran temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu tahun depan.
Jelajah berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali lebih dekat persiapan Malaysia sebagai tuan rumah, selain menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang temasya yang bakal menghimpunkan atlet terbaik rantau ASEAN.
Selain aktiviti promosi kepada orang ramai, program itu turut membuka ruang kepada rakan media di ketiga-tiga negeri untuk mendapatkan maklumat, menyaksikan aktiviti secara langsung serta membuat liputan bagi menyampaikan kemeriahan jelajah kepada masyarakat.
Pahang menjadi destinasi pertama dengan beberapa lokasi persinggahan pada 20 dan 21 November, bermula di Go’ Bang Maju, Temerloh pada jam 11 pagi, sebelum diteruskan ke Teluk Cempedak pada jam 5.30 petang.
Jelajah di Pahang kemudian diteruskan pada 21 November dengan persinggahan di Pantai Teluk Kempadang pada jam 8 pagi, diikuti Pantai Balok pada tengah hari.
Terengganu pula menjadi lokasi seterusnya pada 22 November dengan program bermula di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu pada jam 7 pagi, sebelum bergerak ke Pasar Payang pada jam 1 petang dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada jam 5 petang.
Kelantan melengkapkan siri jelajah pada 23 November menerusi dua lokasi iaitu Universiti Malaysia Kelantan pada jam 10 pagi, diikuti Mydin Tunjung pada jam 3 petang.
MASOC 2027 berharap jelajah berkenaan dapat menggalakkan penglibatan rakyat dalam menyambut temasya itu, selain menyebarluaskan mesej ‘Raikan Perpaduan’ yang menjadi semangat perjalanan Malaysia menuju Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Malaysia bakal menerima kehadiran atlet terbaik Asia Tenggara pada tahun depan, dan sokongan serta penglibatan masyarakat menjadi antara elemen penting dalam menyemarakkan suasana menjelang penganjuran temasya berkenaan.