SERAMAI 301 atlet akan dijangka mengambil bahagian di temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.
Daripada jumlah itu, seramai 222 atlet akan bertanding menepati syarat Kategori A dan B1 terpilih untuk dipertimbangkan menyertai kontinjen negara ke Hangzhou 23 September hingga 8 Oktober depan dengan tambahan 79 lagi atlet bakal membawa cabaran negara atas tiket Kategori B2.
Kontinjen kali ini membabitkan tujuh sukan berpasukan yang merangkumi 130 atlet dari sukan bola keranjang, hoki, kabbadi, kriket, bot tradisional, ragbi dan sepak takraw.
Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), syarat kelayakan itu ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan MOM yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dengan dianggotai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli dan ahli bebas, Zainal Abas pada mesyuarat pertama jawatankuasa, 20 Jun lalu.
Mesyuarat menetapkan tiga kategori berkenaan untuk atlet dipertimbangkan ke temasya edisi ke-19.
“Kontinjen kali ini besar kerana seramai 130/301 (43 peratus) atlet adalah daripada sukan berpasukan. Jumlah penyertaan sukan berpasukan ini bertambah kepada tujuh pasukan berbanding edisi di Doha 2006 hanya tiga sukan.
“MOM juga memperketatkan syarat kelayakan daripada sekurang-kurangnya tempat ke lapan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 untuk dijadikan asas pemlihan kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou berbanding pemilihan ke Sukan Asia Jakarta 2018 yang menggunakan kriteria tempat ke-16 Sukan Asia Incheon 2014.
“MOM berpandangan atlet yang terpilih di bawah Kategori B1 dan B2 perlu menunjukkan prestasi terbaik mereka sekurang-kurangnya memasuki peringkat separuh akhir dalam acara sukan masing-masing,” kata Norza dalam kenyataan yang diedarkan.
Tambah Norza lagi, senarai akhir kontinjen akan dimuktamadkan esok (Sabtu), mengambil kira keputusan terkini Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, Kejohanan Dunia Akuatik FINA di Fukuoka, Jepun dan Kejohanan Menembak Trofi Chia Woh di Subang.
Maklumat tambahan
Tiga kategori ke Sukan Asia Hangzhou
Kategori A – sekurang-kurangnya menyamai kedudukan ke-4 Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018
Kategori B1 – menyamai kedudukan ke-5/6 edisi 2018
Kategori B2 – menyamai kedudukan ke-7/8 edisi 2018
Pecahan atlet mengikut kategori
Kategori A : 118 atlet
Kategori B1 : 104 atlet
Jumlah keseluruhan : 222 orang
B2
Sekretariat MOM menerima rayuan daripada beberapa jenis sukan membabitkan 83 atlet dan daripada jumlah berkenaan hanya 79 atlet diterima
Jumlah keseluruhan kontinjen
Kategori A : 118 atlet
Kategori B1 : 104 atlet.
Kategori B2 : 79 atlet
Jumlah keseluruhan : 301 atlet
Tujuh sukan berpasukan merangkumi 130 atlet
Bola Keranjang (8 atlet) Kategori A
Hoki Lelaki (18 atlet) Kategori A
Hoki Wanita (18 atlet) Kategori B1
Kabbadi (12 atlet) Kategori B1
Kriket (30 atlet) Kategori B2
Perlumbaan Bot Tradisional (Dragon Boat Race) (14 atlet) Kategori B1
Ragbi (12 atlet) Kategori B1
Sepak Takraw Lelaki (12 atlet) Kategori A
Sepak Takraw Wanita (6 atlet) Kategori B1