Skuad boling wanita negara menamatkan penantian 24 tahun untuk kembali menjulang emas acara berpasukan pada Kejohanan Boling Tenpin Asia selepas menewaskan Korea Selatan dalam pertarungan sengit di Doha, Qatar, semalam.
Skuad yang dibarisi Sin Li Jane, Gillian Lim, Nur Syazwani Sahar, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Faten Najihah Ahmad mengumpul 6,578 pin dalam 30 permainan untuk merampas gelaran daripada Korea Selatan yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mencatat 6,540 pin, manakala Singapura meraih gangsa dengan 6,181 pin.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Malaysia yang kali terakhir memenangi gelaran berkenaan pada 2002, selain membalas kekecewaan edisi Bangkok dua tahun lalu apabila tewas kepada Korea Selatan dengan perbezaan hanya 17 pin.
Kebangkitan skuad wanita negara cukup mengagumkan apabila ketinggalan 79 pin selepas blok pertama 18 permainan, sebelum bangkit pada blok kedua dengan mengumpul 3,389 pin berbanding 3,272 milik Korea Selatan untuk memenangi emas dengan kelebihan 38 pin.
Nur Syazwani menjadi peneraju kejayaan itu dengan catatan 1,382 pin, diikuti Sin Li Jane (1,347), Adelia (1,310), Faten (1,273) dan Gillian (1,266). Syazwani turut menambah emas acara all-events wanita dengan jumlah 5,407 pin, menewaskan Paek Yedam dari Korea Selatan yang mengumpul 5,332 pin.
Dalam acara lelaki, Malaysia turut kembali menguasai podium berpasukan selepas mengumpul 6,740 pin untuk menewaskan Hong Kong yang meraih 6,606 pin, manakala Arab Saudi membawa pulang gangsa dengan 6,589 pin.
Kejayaan itu mengembalikan gelaran berpasukan lelaki kepada Malaysia selepas kali terakhir dimenangi di Hong Kong pada 2023, dengan Tun Hakim Tun Hasnul Azam menjadi pemain paling menyerlah menerusi 1,435 pin, diikuti Timmy Tan (1,406), Rafiq Ismail (1,362), Izz Naqiuddin Putera Islahuddin (1,279) dan Hazim Alihanafiah (1,258).
Rafiq turut melengkapkan kempen cemerlang di Doha apabila merangkul emas all-events lelaki dengan 5,690 pin daripada 24 permainan, mengatasi Kang Myung Jin dari Korea Selatan dengan kelebihan 216 pin, manakala Michael Mak Cheuk Yin dari Hong Kong memperoleh gangsa menerusi 5,456 pin.
Kejayaan itu menyaksikan Rafiq menambah koleksi kejuaraan Asia kepada 12 emas sepanjang kariernya, selain mencatat dua permainan sempurna 300 pin dalam acara beregu dan trio, manakala Timmy pula meraih emas kejuaraan Asia ketujuh sepanjang kariernya.
Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila kesemua 12 pemain negara layak ke acara Masters selepas berada dalam kelompok 16 terbaik all-events masing-masing, dengan enam pemain lelaki dan enam pemain wanita bakal meneruskan cabaran pada acara penutup kejohanan esok.
Keseluruhan kutipan pingat Malaysia kini meningkat kepada tujuh emas, empat perak dan satu gangsa, sekali gus mengukuhkan peluang skuad negara untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi di Bangkok dua tahun lalu.