LAPAN atlet papan selaju negara bersiap sedia membawa cabaran Malaysia di Sukan SEA 2025 Bangkok dengan semangat juang tinggi dan tekad mengharumkan nama negara dalam acara street serta park skateboarding.

Pemilihan atlet dibuat berdasarkan kriteria ketat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan prestasi semasa melalui sistem National Skate Ranking Points (NSRP) bagi memastikan hanya atlet terbaik dan paling konsisten mewakili negara di Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung pada Mei depan.

Skuad papan selaju negara dibimbing oleh pengurus pasukan Joseph Romey Dures bersama  dua lagi jurulatih iaitu Mariss Khan dan Fatin Syahirah yang memainkan peranan penting mempersiapkan atlet menghadapi cabaran sengit di Bangkok, termasuk saingan hebat daripada peluncur Filipina, Indonesia dan tuan rumah Thailand.

Bagi kategori Men’s Street, Malaysia akan diwakili oleh Mer Nullah Khan dan Mahathir Nor Daniel, manakala Men’s Park menyaksikan Arina Fikri Rahman dan Ahmad Adlan Anaqi membawa cabaran negara.

Dalam kategori wanita pula, Women’s Street menampilkan Adelia Haziqah dan Alya Zahra, sementara Women’s Park diterajui oleh Nur Tia Adelisa serta Nurhidayah.

Street skateboarding dilakukan di kawasan awam seperti tangga dan palang besi yang menonjolkan gaya bebas serta kreativiti peluncur, manakala park skateboarding dilakukan di tempat khas dengan ramp dan bowl yang menekankan aspek kelajuan dan kawalan.

Sukan SEA 2025 bakal menjadi medan penting buat kontinjen papan selaju Malaysia bukan sahaja dalam memburu pingat emas, tetapi juga membuktikan keupayaan generasi baharu peluncur negara bersaing di peringkat yang lebih tinggi.