Selangor Pistons mencipta kejutan apabila berjaya menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir STL Premier 2026 GP Melaka, sekali gus menghidupkan peluang mereka memburu kejuaraan.
Kejayaan itu lebih bermakna buat Selangor selepas mereka dua kali gagal melepasi saingan peringkat awal untuk layak ke suku akhir dalam Grand Prix sebelum ini.
Dalam aksi suku akhir, Selangor Pistons mempamerkan semangat juang tinggi sebelum menundukkan Negeri Sembilan Antlers 2-1. Mereka terlebih dahulu menguasai set pertama 15-11, namun Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 15-10 pada set kedua.
Bagaimanapun, Selangor memastikan kemaraan apabila memenangi set penentuan 15-12 untuk melengkapkan kemenangan 2-1.
Turut mengesahkan kemaraan ialah PDRM Defenders yang terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan ATM Guardians 2-1 dalam satu lagi perlawanan sengit.
ATM terlebih dahulu memenangi set pembukaan 17-15, namun PDRM bangkit menyamakan kedudukan selepas menguasai set kedua dengan keputusan sama, 17-15.
PDRM kemudian melengkapkan kebangkitan menerusi kemenangan 15-10 pada set ketiga untuk menempah pertemuan dengan Perak Bison di separuh akhir.
Sementara itu, Perak Bison tidak berdepan masalah besar apabila menewaskan Johor Tigris 2-0 menerusi kemenangan 15-6 dan 15-9 untuk meneruskan kemaraan mereka.
Melaka Titans pula memastikan hasrat beraksi di hadapan penyokong sendiri terus hidup apabila menundukkan Kedah Eagles 2-0. Tuan rumah menguasai kedua-dua set dengan keputusan 15-7 dan 15-11.
Keputusan itu menyaksikan empat pasukan yang bakal berentap dalam aksi separuh akhir GP Melaka ialah Perak Bison, PDRM Defenders, Melaka Titans dan Selangor Pistons.
Perak Bison yang juga juara GP Perak akan berdepan PDRM Defenders, manakala Melaka Titans dijadual membuat perhitungan dengan Selangor Pistons.
Kedua-dua aksi separuh akhir itu akan berlangsung esok tengah hari, dengan semua pasukan pastinya memburu kemenangan untuk melangkah ke perlawanan akhir GP Melaka.