Melaka Titans dan Perak Bison menjadi dua pasukan terakhir mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Grand Prix (GP) Kuala Lumpur selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir hari ini.

Melaka Titans tidak berdepan banyak masalah untuk menyingkirkan ATM Guardians apabila menang 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung secara straight set.

Selepas menguasai set pertama 15-10, Melaka terus memperlihatkan kelebihan mereka pada set kedua dengan kemenangan lebih meyakinkan 15-4 untuk memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Melaka Titans

Melaka Titans kini bakal berdepan PDRM Defenders dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung tengah hari esok, sekali gus menjanjikan pertembungan menarik antara dua pasukan yang sedang memburu tempat ke final.

Sementara itu, Perak Bison terpaksa mengharungi pertarungan lebih sengit sebelum menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers 2-1 untuk turut melangkah ke kelompok empat terbaik.

Negeri Sembilan terlebih dahulu mencuri set pembukaan menerusi kemenangan 15-9, namun Perak Bison bangkit menyamakan kedudukan selepas menguasai set kedua 15-11.

Momentum kebangkitan Perak diteruskan dalam set penentuan apabila mereka mengekalkan kelebihan tipis 15-13 untuk menamatkan cabaran Negeri Sembilan Antlers.

Perak Bison akan berdepan Kelantan Warriors dalam satu lagi aksi separuh akhir esok, dengan kedua-dua pasukan kini hanya selangkah lagi untuk merebut slot ke perlawanan akhir GP KL.