DUA pasukan ragbi tujuh sebelah kebangsaan, muncul naib juara di Kejohanan Ragbi SEA 7s yang berlangsung di Singapura hari ini.
Bunga Raya 7s Wanita yang mencipta sejarah kali pertama layak ke final, tidak mampu mengatasi pasukan tuan rumah, namun berjaya mempamerkan peningkatan prestasi berbanding aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Ketua jurulatih Bunga Raya 7s Wanita, Muhammad Faiz Samsukhidir berkata, kekalahan di perlawanan akhir menentang Singapura, menyaksikan skuad negara gagal menyaingi tahap kecergasan pasukan lawan.

Bunga Raya 7s Wanita yang mencipta sejarah kali pertama layak ke final muncul naib juara.
“Kecergasan pasukan lawan lebih menyerlah hingga kami terpaksa akkur dengan kekalahan. Masih banyak yang perlu diperbaiki untuk masa depan,” kata Faiz, selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Bunga Raya 7s Wanita tewas 5-12 kepada Singapura.
Jurulatih itu juga memuji persembahan anak didiknya yang mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
Untuk rekod, Bunga Raya 7s Wanita tewas 5-28 kepada Singapura di peringkat kumpulan, mengatasi Indonesia 15-5 dan mengejutkan Thailand 17-12 di separuh akhir.

Bunga Raya 7s Lelaki terpaksa akur gagal mempertahankan kejuaraan
Sementara itu, Bunga Raya 7s Lelaki gagal mempertahankan kejuaraan selepas akur dengan kehebatan Thailand di final apabila tunduk 5-10 dalam aksi di Stadium Nasional.
Ketua jurulatih lelaki, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, perlawanan itu dibezakan oleh tahap kecergasan pemainnya yang tidak cukup untuk menandingi lawan.
“Pasukan kita hanya menjalani latihan sebanyak 19 sesi pada bulan Ramadan, berbanding Thailand yang mulakan persiapan sejak 2023.
“Apapun, saya anggap ini sebagai permulaan yang baik bagi pasukan untuk menghadapi Sukan SEA hujung tahun nanti,” kata Nik Safuan.
Sepanjang kejohanan ini, Bunga Raya Lelaki menewaskan Indonesia 31-0 di peringkat kumpulan dan mengatasi Filipina 26-0 di separuh akhir.