JURGEN Klopp terselamat daripada larangan menyertai pasukan kerana dilayangkan kad merah ketika perlawanan Liverpool menentang Manchester City pada 16 Oktober lalu. Bagaimanapun, Klopp tetap berdepan denda £30,000.
Dia dikeluarkan dari bangku simpanan Liverpool kerana keluar dari kawasan teknikal dengan memarahi penolong pengadil.
Tindakan lelaki Jerman itu dicetuskan akibat kekasaran terhadap Mohamed Salah. Klopp selepas perlawanan mengakui tindakannya salah dan memohon maaf.
Persekutuan Bola Sepak Inggeris (FA) telah melancarkan siasatan berhubung insiden kad merah Klopp. Akibatnya, Klopp didakwa melanggar peraturan E3.
Peraturan E3 pada dasarnya melarang seseorang di tepi padang daripada membuat komen yang tidak sesuai, yang termasuk komen yang boleh membuat muka buruk, mengancam, biadab, tidak senonoh atau menghina.
“Jurgen Klopp telah didenda £30,000 kerana melanggar peraturan FA E3 semasa perlawanan Liga Perdana Liverpool FC menentang Manchester City FC pada Ahad, 16 Oktober 2022,” kata kenyataan FA.
Klopp dilaporkan telah menerima sepenuhnya sekatan ini. Bagaimanapun, Liverpool masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan.