PENJAGA gol Itali berusia 26 tahun ini menandatangani kontrak selama lima tahun bersama City, dengan pilihan lanjutan satu tahun tambahan, dia juga bakal memakai jersi nombor 25 dan dijangka terus menjadi pilihan utama di bawah kendalian Pep Guardiola.
Kepindahan Donnarumma berlaku seiring dengan penghijrahan Ederson ke Fenerbahce, yang dilaporkan bernilai sekitar £12 juta selepas lapan tahun cemerlang di Etihad, Ederson meninggalkan legasi besar dengan 372 penampilan, 168 clean sheets, serta 18 trofi utama termasuk enam Liga Perdana, dua Piala FA, empat Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara.
Bagi Donnarumma, ini adalah peluang besar untuk mengukuhkan reputasi di pentas Liga Perdana selepas tiga musim bersama PSG sejak menyertai kelab Perancis itu dari AC Milan pada 2021, beliau merekodkan 161 penampilan dan 56 clean sheets namun, akhir-akhir ini kedudukannya di Paris agak goyah, termasuk apabila tidak disenaraikan dalam skuad untuk aksi Piala Super Eropah menentang Tottenham.
Manchester City turut melihat Donnarumma sebagai pelaburan jangka panjang. Pada usia 26 tahun, beliau masih dianggap muda untuk seorang penjaga gol bertaraf dunia dan dijangka mampu berkhidmat lebih daripada sedekad. Pengalaman luas di peringkat kelab serta pasukan kebangsaan Itali bakal menjadi aset penting bagi City, terutamanya dalam misi mempertahankan dominasi mereka di Liga Perdana dan Eropah.
Selain perubahan di posisi penjaga gol, City juga membuat beberapa rombakan skuad lain menjelang musim baru. Pertahanan Manuel Akanji dipinjamkan ke Inter Milan, dengan pilihan untuk pembelian tetap jika syarat tertentu dipenuhi. Guardiola jelas mahu memastikan pasukannya kekal segar dengan keseimbangan antara pemain berpengalaman dan bintang baharu.
Kedatangan Donnarumma menandakan era baharu di benteng terakhir Manchester City. Dengan fizikal yang mantap, refleks pantas, serta pengalaman di pentas antarabangsa, beliau dilihat mampu mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan Ederson. Kini, para penyokong City pastinya menantikan aksi sulung Donnarumma dalam saingan Liga Perdana, sekali gus menguji sejauh mana dia dapat menyesuaikan diri dengan intensiti bola sepak Inggeris.
Kredit Gambar : Instagram Manchester City