Lennart Jasch muncul pelumba pertama yang menakluki pendakian Gunung Jerai dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 selepas pelumba Tudor Pro Cycling Team itu memenangi Peringkat 2 dari Taiping ke puncak Gunung Jerai, hari ini.
Pelumba Jerman berusia 25 tahun itu melengkapkan perlumbaan sejauh 145.6 kilometer (km) dengan masa 3 jam 37 minit 21 saat, sekali gus merampas jersi keseluruhan (GC) daripada pemenang Peringkat 1, Matteo Malucelli (XDS Astana Team).
Jasch melancarkan serangan ketika perlumbaan berbaki kira-kira dua kilometer dan berjaya meninggalkan pencabar terdekatnya, Abel Balderstone daripada Caja Rural-Seguros RGA.
Balderstone hanya dipintas Jasch kira-kira 600 meter sebelum garisan penamat dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan ketinggalan 16 saat, manakala rakan sepasukannya, Jan Castellon menduduki tempat ketiga, 32 saat di belakang pemenang.
Kejayaan itu turut menyaksikan Jasch mengumpul masa keseluruhan 7:44:04 untuk mendahului klasifikasi GC, selain merampas jersi pola dot sebagai Raja Bukit dengan kutipan 15 mata.
Balderstone berada di tempat kedua klasifikasi Raja Bukit dengan 12 mata, manakala Castellon mengumpul 10 mata untuk menghuni tangga ketiga.
Malucelli bagaimanapun masih mengekalkan jersi biru Raja Pecut selepas mengumpul 17 mata, diikuti Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling dengan 12 mata dan Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA) dengan sembilan mata.
Bagi jersi putih pelumba terbaik Asia, Yuhi Tadome dari Aisan Racing Team mendahului selepas mengumpul masa keseluruhan 7:49:04, manakala pelumba Terengganu Cycling Team, Kee Zhe Yie menjadi pelumba Malaysia terbaik dengan 7:49:19. Tsen Ren Bao pula berada di tempat ketiga dengan 7:49:43.
Peringkat 3 LTdL 2026 esok menyaksikan pelumba memulakan kayuhan dari Sungai Petani menuju Kuala Kangsar sejauh 189.7km, dengan satu zon pendakian di Gerik serta tiga zon pecutan di Kuala Ketil, Lawin dan Sauk.