Penyokong Harimau Malaya yang turun ke Jakarta terpaksa menunggu lebih sejam di dalam Stadium Gelora Bung Karno (GBK) selepas tamat aksi Malaysia menentang Indonesia dalam Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, malam tadi.

Langkah keselamatan itu dilakukan bagi memastikan penyokong Malaysia dapat meninggalkan stadium dalam keadaan terkawal selepas puluhan ribu penyokong Indonesia beransur-ansur keluar terlebih dahulu.

Penyokong pelawat ditempatkan di kawasan yang ditetapkan pihak keselamatan, dengan puluhan anggota keselamatan turut berkawal di sekeliling pagar bagi mengawal pergerakan mereka.

Walaupun keadaan secara keseluruhan terkawal, terdapat beberapa video yang dikongsikan penyokong Malaysia di media sosial yang menunjukkan sedikit provokasi daripada penyokong Indonesia ketika kedua-dua kumpulan masih berada di sekitar kawasan stadium.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kekecohan besar dan keadaan berjaya dikawal pihak keselamatan. Penyokong Malaysia juga tidak dibenarkan menghampiri kawasan penyokong Indonesia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Selepas lebih setengah jam menunggu di kawasan berkenaan, penyokong Harimau Malaya kemudian dibenarkan bergerak keluar secara berperingkat dengan kawalan keselamatan.

Sepanjang proses tersebut, keadaan dilaporkan kekal terkawal dan penyokong Indonesia turut mula meninggalkan stadium sebelum penyokong pelawat dilepaskan.

Terdahulu, Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 dengan Indonesia dalam perlawanan yang dihadiri 56,894 penonton. Skuad Garuda beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35, namun Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata. Harimau Malaya selepas ini akan menamatkan saingan kumpulan dengan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.