PEMAIN pertahanan negara, Quentin Cheng tidak mempedulikan malah menghormati pendapat penyokong yang menyifatkan skuad negara ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti adalah skuad Harimau Malaya B.

Dia juga turut menegaskan bahawa senarai akhir 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon adalah pemain yang bagus dan berkualiti serta mampu menterjemahkan arahan yang dikehendaki barisan kejurulatihan.

Quentin juga turut menyatakan keyakinan bahawa dia dan rakan sepasukan mampu membawa skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir dengan semangat yang ada pada setiap pemain.

“Semua orang ada pandangan masing-masing termasuk peminat. Kami tahu tidak ada banyak pemain JDT jadi saya rasa mungkin mereka label kami sebagai Harimau Malaya B tetapi kami sebagai pemain tidak peduli sebaliknya hanya fokus untuk beri yang terbaik nanti.

“Kami berada pada tahap terbaik sama ada dari segi fizikal dan mental serta kami juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan apa yang dikehendaki jurulatih Kim Pan Gon dan kami bersemangat untuk membawa nama negara.

“Saya percaya kami mempunyai kualiti untuk pergi jauh pada kejohanan Piala AFF nanti kerana setiap pemain terpilih di sini sangat bagus dan barisan kejurulatihan tidak akan pilih kami jika mereka rasa kami tidak mampu pergi jauh.

“Jadi saya percaya kami mempunyai peluang untuk mara ke perlawanan akhir nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM.

 

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF 2022 pada 21 Disember menentang Myanmar di Yangon sebelum bertemu Laos pada 24 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berselang tiga hari, skuad kebangsaan akan terbang ke Hanoi menghadapi Vietnam di Stadium My Dinh sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang musuh tradisi, Singapura.