PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola telah ‘menyerahkan’ gelaran juara Liga Perdana Inggeris kepada Arsenal selepas tewas 1-2 kepada musuh setempat, Manchester United di Old Trafford.
Kekalahan itu menyaksikan juara bertahan itu kini ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal dan Pep seakan sudah mengibarkan bendera putih walaupun perjalanan liga masih panjang.
Dia juga kelihatan kurang gembira dengan keputusan pengadil yang mengesahkan jaringan pertama Red Devils yang pada awalnya dibatalkan kerana Marcus Rashford dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.
FULL-TIME | Defeat at Old Trafford.
🔴 2-1 🔵 #ManCity pic.twitter.com/KZb6nBMDh7
— Manchester City (@ManCity) January 14, 2023
“Saya tidak peduli dengan Liga Inggeris dan Piala Liga Inggeris, kami tidak boleh memenanginya kerana jarak mata yang jauh dari Arsenal. Kami sudah banyak memenangi gelaran itu sehinggakan perkara itu bukanlah menjadi masalah.
“Benar Rashford dalam kedudukan ofsaid dan Bruno Fernandes tidak. Tetapi adakah Rashford menyentuh dan mengganggu penjaga gol dan pertahanan tengah kami saya tidak tahu. Saya akur kerana peraturan adalah peraturan,” kata Guardiola.
Jarak mata antara Manchester City dan Arsenal kini berpotensi untuk menjadi lebih besar kepada lapan mata jika The Gunners berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dalam derbi London Utara pada Ahad.

Tidak cukup dengan itu, Manchester City juga kini dikejar Manchester United yang hanya ketinggalan satu mata hasil kemenangan derbi itu dan juga kemenangan ketujuh berturut-turut skuad kendalian Erik Ten Hag dalam semua kejohanan.
Pada perlawanan itu, Manchester City membuka tirai jaringan menerusi Jack Grealish pada minit ke-60 sebelum Red Devils bangkit dengan dua jaringan pantas oleh Bruno Fernandes pada minit ke-78 dan Marcus Rashford empat minit berselang.