PENGURUS Tottenham Hotspur, Antonio Conte menjelaskan keadaannya semakin positif setelah berjaya menjalani pembedahan untuk membuang batu karang.
Jurulatih kelahiran Itali sebelum ini menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor menasihatinya agar menjalani pembedahan dengan kadar segera untuk menyembuhkan kesakitan di bahagian abdomen yang dialaminya.
“Dia diagnosa menghidap cholecystitis, dengan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan batu karang dan akan kembali setelah tempoh pemulihan,” menurut kenyataan Tottenham Hotspurs.
Sementara itu, Conte turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan agar pembedahannya berjalan lancar serta dia sudah tidak sabar kembali meneruskan tugasnya apabila pulih sepenuhnya.
“Terima kasih atas doa dan mesej peminat, pembedahan saya berjalan dengan lancar dan saya rasa semakin sihat.
“Sekarang masa untuk proses pemulihan. Saya sudah tidak sabar untuk kembali beraksi di gelanggang bersama mereka,” jelasnya.
Penolong jurulatih Hotspur, Cristian Stellini bakal mengambil alih tugas tersebut pada perlawanan menentang Manchester City pada Ahad.
Sebagi rekod, Conte mengambil alih tampuk sebagai jurulatih Tottenham Hotspur pada November 2021 dan berjaya membawa The Lilywhites beraksi pada Kelayakan Liga Juara-Juara pada musim pertama dia memulakan tugas bersama kelab itu.