[EKSKLUSIF]
MUSIM Liga Super 2023 menyaksikan beberapa perubahan dilakukan pengelola liga, Malaysia Football League bagi meningkatkan lagi nilai komersil liga yang kebelakangan ini semakin bertambah dengan kehadiran hos produksi baharu dan pertambahan penajaan dari sektor korporat.
Antara perkara yang diperkenalkan bagi musim ini adalah sepak mula pada sebelah petang bagi perlawanan hujung minggu untuk menambahkan kemeriahan saingan dan dilihat lebih sesuai sebagai masa untuk keluarga menonton perlawanan bola sepak.
Namun negara ini yang terkenal dengan cuaca panas sedikit menggangu aksi di padang kerana bukan mudah untuk bermain dalam cuaca begini namun sebagai pemain profesional ini adalah antara perkara yang perlu mereka hadapi.

Goulon merasakan bahang bermain di sebelah petang
Perlawanan Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu lalu adalah perlawanan waktu petang pertama melibatkan kedua-dua pasukan dan pertahanannya import Negeri Sembilan, Harold Goulon tidak mengerti mengapa keputusan ini dibuat oleh MFL.
“Lebih baik main pada waktu malam. Saya rasa pihak yang buat keputusan untuk adakan perlawanan waktu petang ni tidak pernah berlari dalam keadaan panas,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Adakah apa yang dikatakan Goulon ini tepat atau sebaliknya. FLASH SUKAN telah melakukan analisis kehadiran penyokong ke stadium untuk kesemua perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang dan mendapati ianya berjaya menarik minat penyokong dengan angka kehadiran yang boleh dianggap memuaskan.

Sri Pahang sudah beraksi tiga kali pada sebelah petang
Selepas berakhir minggu ke-17 Liga Super, sebanyak 11 perlawanan sebelah petang telah dilangsungkan dengan kesemua pasukan kecuali Kedah Darul Aman FC sudah merasai pengalaman bermain dalam cuaca yang agak panas.
Dari 11 perlawanan ini, kehadiran penyokong ke stadium mencatatkan angka 61,261 orang dengan purata 5,569 penonton yang tetap setia bersama pasukan tanpa mengira waktu sepak mula perlawanan.
Aksi Johor Darul Ta’zim bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim mencatatkan angka tertinggi dengan 24,404 penonton yang merasakan stadium milik JDT itu mempunyai ‘vibes’ tontonan seperti di Eropah apabila berlangsung perlawanan pada sebelah petang.

Suasana ala eropah di Stadium Sultan Ibrahim
Angka terendah pula melibatkan aksi PDRM FC dan Kelantan United FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya dengan hanya 202 orang penonton hadir menyaksikan perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat.
Tinjauan FLASH SUKAN di beberapa venue ketika perlawanan sebelah petang juga menyaksikan lebih banyak keluarga meluangkan masa bersama menonton perlawanan bola sepak kerana ada yang berpendapat masa lebih memihak kepada mereka kerana tidak perlu pulang lewat malam jika dibandingkan dengan sepak mula jam 9 malam.
Benar, ada beberapa stadium yang kurang sesuai untuk perlawanan sebelah petang kerana tidak mempunyai bumbung tetapi ini semua bergantung pada kebijaksanaan kelab untuk merangka strategi bagaimana hendak menarik lebih ramai penyokong hadir memberikan sokongan.

Sistem agihan pendapatan dari MFL
Jelas disini keputusan MFL untuk mewujudkan perlawanan pada sebelah petang mendapat sambutan daripada para penyokong meskipun ada pemain dan pasukan yang kurang menggemarinya namun ianya perlu dilakukan bagi memberi lebih banyak perlawanan ditayangkan secara langsung.
Lebih banyak siaran langsung, lebih tinggi nilai komersil dan lebih tinggi agihan pendapatan yang akan diterima setiap pasukan bertanding dan perkara ini sudah tentu menguntungkan kedua-dua belah pihak.