PEMAIN tengah Terengganu FC, Habib Haroon mengakui keadaan cuaca di Bali ketika ini sangat panas namun itu bukanlah alasan buat dia dan rakan-rakan sepasukan untuk tidak memberikan aksi terbaik apabila berhadapan Bali United dalam aksi kedua Kumpulan G Piala AFC.

Indonesia kini sedang dilanda haba panas sehingga ada beberapa kawasan yang mengalami peningkatan suhu sehingga 42 darjah celsius tetapi bagi Habib ini adalah cabaran bagi setiap pemain bola sepak professional.

“Cuaca di Bali ini sangat panas tetapi ini adalah sebahagian daripada cabaran buat kami kerana bermain bola sepak profesional adalah kerjaya kami. Semua pemain sudah bersedia dan kami mahu berikan yang terbaik buat Terengganu.

 

“Kami mengambil serius perlawanan ini kerana ianya cukup penting dan kami ke sini untuk mengutip tiga mata penuh dan semua pemain bersemangat untuk diturunkan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Pemain kelahiran Bahrain itu juga senada dengan jurulatihnya yang memuji keadaan padang di Stadium Kapten I Wayan Dipta dan dia sudah tidak sabar untuk beraksi sekaligus membawa pulang tiga mata penuh buat Terengganu.

“Saya suka dengan keadaan padang di sini dan ini adalah jenis padang yang digemari setiap pemain bola sepak. Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dan dengan izin Tuhan, Terengganu akan membawa pulang tiga mata penuh dari Bali,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Habib sekali lagi akan mengepalai skuad Peteh di kejohanan Asia selepas berjaya melakukan kejutan apabila menewaskan wakil Australia, Central Coast Mariners 1-0 pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada September.