PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor gembira kerana diberikan kepercayaan oleh barisan kejurulatihan untuk menjana enjin serangan Harimau Selatan dan dia mahu terus mengekalkan momentum itu.

Kehadiran semula Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih membuka peluang kembali buat Nazmi untuk beraksi dan dia mahu menggunakan segala peluang yang diberikan untuk membantu kelab meraih sasaran namun masih ada ruang untuk memperbaiki aksi.

“Pada mulanya saya agak gemuruh kerana perlawanan pertama tetapi selepas 10 minit saya mula dapat momentum dan saya bermain baik selain usaha kawan-kawan yang banyak membantu dalam aksi ini.

Nazmi cuba mengintai kembali ke skuad kebangsaan

“Saya selesa bermain bersama Juan Muniz dan Heberty Fernandes kerana mereka mempunyai kualiti yang baik dan kami faham permainan antara sama lain dan saya juga cuba perbaiki keserasian dengan Jalil Elias kerana ini pertama kali saya bermain bersama-sama dalam perlawanan kompetitif,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Nazmi juga bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama meskipun sedar jurulatihnya akan sering melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi musim yang panjang.

“Bagi saya, jika diberi peluang beraksi, saya akan kekalkan momentum dan saya masih berminat serta bersedia untuk kembali menyarung jersi kebangsaan namun semuanya terpulang kepada jurulatih kebangsaan,” jelasnya.

Nazmi selesa membentuk gandingan tengah bersama Juan Muniz dan Heberty Fernandes

Dia turut menyatakan aksi pramusim di Sepanyol banyak membantu dia dan pasukan untuk bermain dengan intensiti yang tinggi kerana kesemua lawan mereka di Alicante bermain lebih laju jika dibandingkan di Liga Malaysia.