PEMAIN Paling Bernilai Liga Malaysia 2023, Arif Aiman Hanapi memberi bayangan dia bakal kekal di Johor Darul Ta’zim (JDT) namun dia tidak mahu terlalu selesa bagi memastikan dia sentiasa di tahap yang terbaik.

Arif sekali lagi membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri apabila membantu JDT menewaskan Shanghai Shenhua 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Dia juga turut dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan sekali gus mendapat gelaran itu untuk dua perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite berturut-turut dan dia bersyukur atas pencapaiannya yang menjadi bualan penyokong bola sepak.

Arif Aiman terus berhantu di Asia.

“Sejujurnya saya mahu kekal di sini sampai bila-bila namun saya tidak boleh selesa dan pastikan saya terus berjaya. Saya sentiasa pesan untuk berikan yang terbaik untuk kelab dan dengar cakap jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.

“Bagi saya semua perlawanan penting sama ada liga tempatan atau di Asia. Saya kena ‘enjoy moment‘ ini kerana di usia muda saya perlu berusaha dan ini adalah impian saya kerana sedar bukan mudah main di peringkat tinggi Asia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pemain berusia 22 tahun itu turut mengakui pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor banyak memberikan semangat buatnya terutama apabila dia bergelut mengatasi masalah kecederaan.

Arif Aiman sekali lagi dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Sebelum ini saya cedera dan ianya jejaskan prestasi saya. Boss (Tunku Ismail) selalu bagi semangat untuk lakukan yang terbaik dan atas sebab inilah saya tekad untuk kekal di kelab ini.

“Saya mendedikasikan kemenangan ini untuk penyokong dan hargai sokongan mereka yang hadir dan gembira kerana kami berjaya berikan kejayaan kepada mereka,” jelasnya.

Arif Aiman kini telah menjaringkan tiga gol di peringkat elit Asia dan seterusnya akan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya bertemu wakil Republik Korea, Gwangju FC pada 22 Oktober di tempat lawan.