PENGENDALI Shanghai Shenhua, Leonid Slutsky mengakui jadual padat dan tempoh persediaan yang singkat menjadi punca pasukannya gagal memberikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 0-3 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Shenhua menempuh enam perlawanan dalam tempoh 18 hari namun dia mengakui JDT sememangnya berhak untuk menang dan sistem permainan yang kurang efektif menjadikan mereka tidak mampu melakarkan kejutan.
Dia yang ditemui ketika sidang media selepas perlawanan mahu pasukannya bangkit dalam menghadapi baki peringkat liga zon Asia Timur meskipun sedar sukar kerana terpaksa menghadapi banyak kejohanan domestik.

Leonid Slutsky mengakui jadual padat punca mereka tewas kepada JDT
“Malang buat kami dan lawan kami berhak menang. Kami perlu kompetitif dalam kejohanan ini namun pemain dalam keadaan optimum ekoran jadual yang padat. Secara objektif kami mampu menjadi lebih baik jika berada dalam keadaan yang baik.
“Kami tidak bermain baik dengan lambat bertindak satu dua saat dan memberikan ruang kepada pemain lawan terutama nombor 42 dan ianya bukan salah individu tetapi sistem kami yang bermasalah.
“Johor berkelebihan kerana mampu melakukan rotasi pemain berbanding kami dan sukar menentang mereka yang sentiasa menggerakkan bola tetapi saya harap kami akan bangkit dan berikan aksi terbaik selepas ini,” katanya.
Kekalahan ini menyaksikan Shanghai Shenhua kini ditangga keempat selepas selesai dua perlawanan dan akan berhadapan Kawasaki Frontale di tempat sendiri.