PRESTASI Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam kempen Piala Sudirman 2025 minggu lalu, mula menampakkan kematangan selepas ‘perpisahan sementara’.
Bagi ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, gandingan terbabit mempamerkan ketenangan dan komunikasi yang jauh berbeza ketika berada di gelanggang berbanding apa yang dipamerkan Mac lalu.

Menurut Nova, peningkatan paling ketara dapat dilihat biarpun ketika pasangan itu tewas straight set 17-21, 17-21 kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, dalam aksi suku akhir yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3, terutamanya dari segi kawalan emosi dan komunikasi.

Toh Ee Wei, seorang pemain yang sentiasa bersemangat di gelanggang.

“Walaupun kalah, saya nampak komunikasi mereka lebih baik daripada sebelum ini. Itu petanda yang sangat bagus. Saya gembira dengan perkembangan ini dan berharap mereka kekal konsisten di kejohanan akan datang,” kata jurulatih berpengalaman berasal dari Indonesia itu.

Untuk rekod, Tang Jie dan Ee Wei dipisahkan selepas hubungan di gelanggang dilihat tidak lagi sehaluan. Namun krisis itu seolah-olah menjadi hikmah apabila mereka tampak lebih memahami peranan masing-masing selepas bergabung semula.

Chen Tang Jie-Toh ee Wei 

Biarpun diumumkan secara rasmi kembali bergandingan, Tang Jie tidak akan berpasangan dengan Ee Wei menghadapi saingan Terbuka Taiwan yang bermula hari ini, selepas lebih awal didaftarkan ke kejohanan itu bersama gandingan campuran, Chan Wen Tse dan Wong Vin Sean (beregu lelaki).

Begitupun, Tang Jie-Ee Wei akan membuat penampilan semula di kejohanan Jelajah Dunia BWF, pada Terbuka Singapura dari 27 Mei hingga 1 Jun ini.