BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memiliki teknik serta kemahiran lengkap, sebaliknya kurang daya berfikir.
Perkara itu disuarakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaku selepas gandingan nombor sembilan dunia itu tersingkir di pusingan kedua Seluruh England, semalam.
Rexy berkata, dengan berbaki empat bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 memulakan saingan, pasangan itu tidak boleh selesa dan hanya mengharapkan barisan kejurulatihan memikirkan perubahan untuk mereka, kerana kecerdasan membuat keputusan dalam gelanggang menjadi kunci untuk pemain memenangi satu-satu perlawanan.
“Semua terletak di tangan pemain itu sendiri, kita sudah banyak kali berbincang mengenai apa yang mereka perlu buat… perlu ada usaha untuk berubah. Mereka tidak boleh bermain ikut ‘mood’ mereka saja, mahu cara yang senang sahaja untuk mengutip mata, tidak boleh ada susah sedikit.
“Apabila ada susah sedikit, terus mereka jadi binggung dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Pemain harus sedar bukan hanya jurulatih yang harus fikir bagaimana untuk ubah mereka.
“Apa yang diperkatakan jurulatih seharusnya disimpan dalam otak dan dilakukan di dalam latihan serta terjemahkannya dalam perlawanan.
“Ini bukan masalah kemahiran atau teknik tetapi lebih kepada cara mereka berfikir di dalam gelanggang yang buatkan mereka sering terkandas,” kata Rexy, ketika dihubungi.
Tang Jie-Ee Wei bermula baik di Seluruh England 2024 dengan menewaskan bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama, dikejutkan dengan kekalahan beregu Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 19-21, 16-21 di pusingan kedua.