MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengeluarkan amaran tegas agar pengurusan kelab bola sepak diserahkan hanya kepada individu atau pihak yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan dan pengurusan, demi memastikan liga tempatan terus bernafas dan kebajikan pemain tidak terabai.

“Saya minta kalau yang tak mampu, jangan ‘sentuh’, biar orang lain ambil. Kadang-kadang ada yang tak mampu tetapi nak simpan kuasa itu, jadi orang lain tak boleh ‘sentuh’,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis resepsi skuad olahraga Jerman di ibu negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan segelintir pasukan untuk mengurus perkara asas seperti pembayaran gaji boleh menjejaskan keyakinan penaja terhadap liga.

“Jadi kalau bola sepak rasa susah untuk mendapatkan penaja, bayangkan sukan lain. Bola sepak mempunyai penonton yang ramai… mereka (penaja) hanya nak lihat cara pentadbiran kelab, bagaimana membayar gaji ataupun menjaga kebajikan pemain,” katanya.

Kenyataan Hannah hadir susulan krisis kewangan berterusan yang melanda Liga Malaysia, termasuk keputusan dramatik Perak FC untuk menarik diri daripada Liga Super musim ini selepas berdepan beban kewangan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lalu.

Perak FC antara pasukan yang mengalami krisis kewangan paling kritikal dan terpaksa menarik diri dari menyertai liga malaysia musim hadapan.

Mengulas hala tuju liga, beliau menyarankan agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) segera mengadakan rundingan menyeluruh bersama pihak berkepentingan bagi merangka pelan jangka panjang yang mampan.

Dalam masa sama, Hannah memuji gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai model kelab profesional yang wajar dijadikan penanda aras. Beliau menolak dakwaan bahawa dominasi JDT mematikan saingan dalam liga.

“Saya rasa tidak patut dipersalahkan kerana mereka bagus. Sebaliknya, usaha perlu dilakukan untuk mencapai tahap mereka, bukan bertindak memboikot dan enggan beraksi semata-mata kerana mereka terlalu bagus,” katanya.

“Bagi saya, JDT sedang meningkatkan mutu bola sepak tempatan sebagai sebuah kelab dan ia sesuatu yang patut dipuji. Kalau tak mampu tandingi JDT, bukan alasan untuk tarik diri. Itu bukan semangat kesukanan,” tambah Hannah.