PASUKAN Harimau Malaya berpotensi menerima suntikan besar di jentera tengah apabila difahamkan pemain tengah kelahiran Sepanyol, Nacho Mendez kini berada dalam fasa akhir proses mendapatkan kerakyatan Malaysia sebagai pemain warisan.
Sumber terdekat memaklumkan dokumen yang diperlukan sedang dikemaskini sebelum pemain terbabit disahkan dapat menyertai skuad kebangsaan pada perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang, sekali gus membuka peluang kepada Mendez untuk beraksi di Piala CAFA yang akan berlangsung di Tajikistan dan Uzbekistan pada 28 Ogos hingga 8 September ini.
Mendez, 27, yang pernah beraksi di La Liga bersama Sporting Gijón dan dikenali dengan ketenangan serta visi permainan di bahagian tengah, dipercayai mempunyai darah Malaysia menerusi datuknya yang berasal dari Pulau Pinang. Menariknya, datuk beliau merupakan individu berdarah campuran Malaysia, Cuba dan Sepanyol menjadikan kisah warisan Mendez sesuatu yang unik dan sangat berpotensi memikat hati penyokong tempatan.
Jika segalanya berjalan lancar, Mendez bakal menyertai senarai pemain warisan berkualiti tinggi yang menjadi tulang belakang skuad negara era baharu di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Dengan gaya permainan kreatif dan disiplin taktikal dari Eropah, kehadiran Mendez mampu menambah dimensi baharu kepada Harimau Malaya terutamanya dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti menentang Iran ,Tajikistan dan Afghanistan.
Kehadiran pemain seperti Mendez adalah menunjukkan bahawa pasukan negara semakin menarik minat pemain warisan bertaraf antarabangsa. Dan jika proses ini diselesaikan dalam masa terdekat, Cklamovski mungkin bakal memiliki seorang ‘quarterback’ baharu yang mampu mengatur tempo dan merencana serangan dengan lebih tajam menjelang CAFA Nations Cup.
Harapan kini disandarkan kepada kelulusan akhir serta pengumuman rasmi, namun dengan perkembangan positif ini, penyokong Harimau Malaya pasti teruja menantikan gandingan baharu di padang yang mungkin mencipta sejarah bersama skuad kebangsaan.