PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski melihat ASEAN Hyundai Cup bukan sekadar kejohanan serantau, sebaliknya pentas penting untuk mencungkil bakat muda dan memperluaskan pilihan pemain skuad negara menjelang cabaran lebih besar di peringkat antarabangsa.
Jurulatih dari Australia itu berkata demikian ketika mengulas keputusan cabutan undi kejohanan berkenaan di Jakarta, dengan menegaskan saingan tersebut membuka ruang luas untuk memberi pendedahan kepada pemain baharu, khususnya kerana ia berlangsung di luar kalendar antarabangsa FIFA.
“ASEAN Hyundai Cup mempersembahkan peluang pembangunan penting untuk kami,” kata Cklamovski, sambil menekankan fokus kepada pembinaan jangka panjang Harimau Malaya.
Menurutnya, kejohanan itu membolehkan barisan kejurulatihan menilai lebih ramai pemain baharu di pelbagai posisi, sekali gus memberi pengalaman antarabangsa awal kepada bakat muda yang berpotensi menjadi tunjang pasukan pada masa depan. “Ini membolehkan kami menambah lebih ramai pemain baharu, memberi pengalaman antarabangsa buat pemain baru dan memperkuatkan laluan ke skuad Harimau Malaya,” jelasnya.
Cklamovski turut menegaskan pendedahan itu penting sebagai persiapan awal menghadapi kejohanan utama akan datang, termasuk Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia. “Ini tatkala kami membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan besar pada masa hadapan termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya.