SEBANYAK RM789,560 peruntukan digunakan kerajaan negeri dalam usaha membantu bekas atlet Selangor dalam kesusahan menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020 hingga 2023.
Program dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) itu menyaksikan kerajaan negeri Selangor, sebagai kerajaan negeri paling aktif membantu kebajikan bekas atlet kelahiran negeri itu.
Malah, tahun ini sahaja, kerajaan Selangor memperuntuk RM199,380 kepada Yakeb bagi membantu bekas atlet kebangsaan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan negeri, Mohd Khairuddin Othman menyeru, lebih ramai bekas atlet kebangsaan tampil ke hadapan sekiranya berdepan masalah.
“Program Ceria Atlet Selangor iaitu inisiatif dari kerajaan negeri untuk membaikpulih kediaman dan sumbangan barangan perabot.
“Program ini telah memasuki tahun keempat dan kali ini kita fokus kepada kebajikan bekas-bekas atlet.
“Bertemakan ‘Hargai Jasa Atlet’, penganjuran program ini sebagai tanda penghargaan jasa dan pencapaian bekas-bekas atlet Selangor yang pernah mengharumkan nama Negeri Selangor dan Malaysia.”
Sejak bermulanya program ini pada tahun 2020, kerajaan Selangor memperuntuk RM789,560 telah disalur kepada Yakeb bagi merealisasikan objektif program ini.

Abd Mutalib Mydin menerima hak milik tanah, tempat dia menginap sejak 40 tahun lalu.
“Antara bentuk bantuan seperti membaikpulih kediaman dan sumbangan barang perabot yang telah melibatkan seramai hampir 200 bekas atlet,” kata Khairudin.
Khairuddin menggesa bekas atlet negara khusus atlet Selangor segera berurusan dengan Yakeb sekiranya bermasalah.
Pada majlis tersebut, bekas jaguh berbasikal negara, Abd Mutalib Mydin menerima pemilikan tanah dari Kerajaan Selangor selepas menetap di kediaman tersebut kira-kira 40 tahun lalu.
Turut menerima bantuan Ceria Atlet Selangor, 39 bekas atlet kebangsaan yang hadir pada majlis itu.