SKUAD bola sepak pantai lelaki kebangsaan bakal membuat kemunculan ketiga di Kejohanan Piala Bola Sepak Pantai Asia 2023 setelah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Uzbekistan dalam satu majlis undian yang dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Anak-anak buah Faizal Sood ini adalah salah satu pasukan Asia Tenggara selain tuan rumah, Thailand dan jiran setempat, Indonesia dan dijangka berhadapan tugas sukar untuk mengulangi pencapaian terbaik layak ke suku akhir ketika edisi 2019.

Lawan Malaysia dalam Kumpulan B ini adalah lawan yang sukar dengan UAE, pasukan ranking ke-14 dunia yang merupakan juara dua iaitu pada 2007 dan 2008 manakala Iran di tangga ketujuh dunia pernah muncul juara juga sebanyak dua kali (2013 dan 2017).

 

Uzbekistan yang melakukan penampilan keenam mereka dalam kejohanan dengan pencapaian terbaik tempat kelima pada tahun 2008 juga bakal memberikan cabaran besar buat skuad negara yang kini berada di tangga ke-65 dunia.

Kejohanan yang menampilkan 16 pasukan ini akan menyaksikan dua pasukan tempat teratas dari empat kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir sebelum bertarung untuk merebut kejuaraan dalam perlawanan akhir yang dijadualkan pada 26 Mac 2023.

Jepun sebagai juara bertahan diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama pasukan Lebanon, China dan Indonesia dan dilihat tidak berhadapan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan sekaligus mempertahankan kejuaraan.

 

Kumpulan A pula diisi tuan rumah Thailand, Afghanistan, Arab Saudi dan Bahrain manakala Oman, Palestin, Kuwait dan Kyrgyzstan diletakkan dalam Kumpulan D.

Kejohanan Piala Bola Sepak Pantai Asia 2023 ini akan berlangsung di Pattaya, Thailand bermula 16 hingga 26 Mac 2023 dengan dua pasukan yang bertarung di final akan layak ke Kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Pantai FIFA 2023 di Emiriah Arab Bersatu pada November 2023.