KUALA Lumpur (KL City) FC mempamerkan aksi hambar ketika seri 1-1 berdepan Kuching City pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Skuad KL City kendalian Bojan Hodak melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad pelawat sebaik sahaja pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin meniupkan wisel perlawanan.

Namun, tidak banyak percubaan menarik sepanjang babak pertama dihidangkan kedua-dua pasukan.

Sebaliknya, gol yang ditunggu-tunggu hanya hadir pada penghujung 10 minit terakhir. Kipre Tchetche tiada masalah menyempurnakan tendangan penalti menewaskan penjaga gawang, Shaiful Wazizi Mohammad.

Ketika tuan rumah menyangka tiga mata akan diraih muncul kapten pasukan The Cats, Abu Kamara menyamakan kedudukan pada minit ke-90’+4.

Kegagalan mengutip mata penuh itu merugikan skuad The City Boys terutama dalam misi mengukuhkan kedudukan di carta Liga Super dengan kini menghuni tangga keenam dengan 19 mata.

Walaupun tiada banyak keceriaan, kira-kira 610 penyokong yang hadir memberikan tepukan kepada pemain tuan rumah selepas tamat permainan.

Perlawanan berikutnya, KL City akan bertemu Sabah FC dalam saingan suku akhir Piala FA di Likas pada 28 Mei ini.