IMPAK pemain gantian, Engku Nur Shakir Engku Yaacob menyelamatkan maruah Terengganu FC selepas gol tunggalnya memastikan kemenangan tipis ke atas Penang FC, malam ini.

Awal permainan memihak TFC dengan percubaan Jordan Mintah dari sudut sukar serta voli Syafik Ismail dalam 15 minit pertama mula mencemaskan pelawat.

Giliran Penang FC selepas itu hadir menerusi rembatan Hassan Saad dari luar kotak penalti namun sekadar tinggi melepasi pintu gol lawan pada minit ke-26.

Hanya seminit kemudian, TFC melancarkan serangan balas menyaksikan sepakan kaki kiri Mintah hanya sedikit tersasar ke sebelah kanan penjaga gol, Azfar Arif Shukri.

Anak-anak buah Tomislav Steinbrucker terus kempunan untuk memecahkan kebuntuan apabila tolakan Syafik di depan pintu gol dalam masa kecederaan sekadar melambung tinggi.

Percaturan jurulatih itu memasukkan Nik Sharif Haseefy Nik Lazim dan Engku Nur Shakir mengubah rentak permainan TFC dengan serangan lebih tersusun pada babak kedua.

Bermula lambungan Nik Sharif Haseefy pada minit ke-62 disusuli tolakan Mintah yang terkena tiang minit ke-68, TFC bagaikan mula mendapat keyakinan untuk memburu gol pembukaan.

Berpunca umpanan Sony Norde, Engku Nur Shakir berjaya lolos ke dalam kotak penalti sebelum melakukan tolakan bola leret menewaskan Azfar Arif pada minit ke-75.

Kegagalan Nik Sharif Haseefy, Sony Norde dan Ivan Mamut menyudahkan peluang pada hujung permainan memaksa TFC berpuas hati dengan kemenangan 1-0 sehingga tamat.