Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai spekulasi yang mengaitkan namanya dengan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Nama Ab Ghani sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi untuk mengisi kekosongan kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu.

Namun beliau dilihat tidak mahu terlalu melayan khabar angin berkenaan buat masa ini, sebaliknya menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah terhadap tanggungjawab bersama MFL dalam mengurus dan memacu saingan Liga Malaysia.

“Saya tidak tahu benda itu (spekulasi dikaitkan dengan jawatan Presiden FAM), payah nak cakap. Saya masih lagi Presiden MFL,” katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa anjuran MFL.

Selain Ab Ghani, beberapa nama lain turut dikaitkan media sebagai calon yang berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes serta tokoh korporat Ruben Emir Gnanalingam.

Dalam masa sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Megat D Shahriman Zaharudin sebelum ini turut menyatakan secara terbuka minat untuk menerajui FAM.

Ketika ini, kesemua kerusi kepimpinan FAM kosong selepas barisan Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025-2029 meletakkan jawatan secara berjemaah pada Januari lalu susulan kemelut kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara.

FAM dijangka mengadakan kongres pemilihan bagi memilih barisan kepimpinan baharu selepas proses pemulihan pentadbiran badan induk itu selesai, yang ketika ini turut dibantu oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sumber Gambar: Media Mulia