TRIO pecut berpasukan lelaki negara yang baru dibentuk, memberi persembahan terpuji di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 apabila meraih pingat gangsa selepas mengetepikan Kazakhstan dalam penentuan tempat ketiga/keempat.
Gandingan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridhwan Sahrom serta Umar Hasbullah diisytihar pemenang menerusi keputusan ‘photo finish’ yang mendapati trio negara terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 44.363 saat (s), manakala Kazakhstan yang dibarisi Dmitriy Rezanov, Kirill Kurdidi dan Sergey Ponomaryov mencatat masa 44.488s dalam aksi yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, di sini.

Kali pertama digandingkan, trio pecut berpasukan lelaki negara raih gangsa.
“Alhamdulillah dengan keputusan yang dicatatkan hari ini, kami menduduki tempat ketiga. Saya bangga dengan dua pelumba muda (Ridhwan dan Umar). Kami berjaya melaksanakan apa yang kami rancang.
“Saya gembira kami menduduki tempat ketiga, memang satu permulaan yang baik dan perkara positif ini saya akan bawa sehingga ke acara kegemaran saya, satu kilometer ujian masa,” kata Fadhil.
Emas dalam acara berkenaan diraih Jepun dengan catatan masa 42.987s, selepas menumpaskan China, 43.619s.
Sementara itu, trio pecut berpasukan wanita yang dibarisi Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan, terlepas gangsa namun mereka berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali di sebelah pagi (kelayakan) dan di sebelah petang (penentuan tempat ketiga/keempat).
Gandingan ‘Marka Utagha’ berjaya memecahkan rekod lama 50.172s yang dicatatkan di Piala Negara-Negara UCI di Kanada April lalu selepas mereka melakukan 49.766s di sebelah pagi (kelayakan), manakala pada penentuan tempat ketiga/keempat mereka sekali lagi memecahkan rekod dengan catatan 49.204s.
Emas dalam acara berkenaan diraih China dengan catatan masa 46.723s, manakala perak menjadi milik Jepun (48.198s) dan gangsa diraih Korea Selatan (48.847s).

Kuartet pecut tandem berpasukan campuran para, yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Zamri serta dan Farina Shawati Adnan, meraih pingat emas.
Dalam saingan para, satu emas berjaya diraih melalui acara pecut tendem berpasukan campuran yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nur Suraiya Zamri serta dan Farina Shawati Adnan.
Mereka berjaya mencatat masa peribadi terbaik 51.526s, mengatasi masa terdahulu 52.429 yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Paris.
Terdahulu, skuad berbasikal para negara yang beraksi dalam acara akhir pecut campuran terpaksa akur dengan apabila tewas kepada China bagi perebutan pingat emas.
Malaysia yang dibarisi Mohamad Yusof Hafizi, Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Hafiz Jamali mencatatkan masa 51.697s akur dengan kehebatan China yang menamatkan perlumbaan dengan 49.216s.