PEREBUTAN kerusi nombor satu Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) dijangka hangat selepas Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin mengesahkan akan bertanding untuk jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan berlangsung 28 Disember ini.

“Ya, saya sudah menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan presiden. Kita tunggu keputusannya nanti,” jawabnya ringkas ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Megat yang pernah memegang jawatan ini pada penggal 2019-2022, namun tidak sempat menghabiskan tempohnya berikutan beliau dikenakan penggantungan 18 bulan gara-gara didapati melanggar Tatakelakuan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) pada November 2020.

Ia susulan Megat dilaporkan melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia 2020 apabila membuat kenyataan media berkaitan dengan kelewatan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan LHM sehingga mengakibatkannya digantung daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa mulai 3 November 2020.

Bagaimanapun Megat menang dalam permohonan rayuan perintah penggantungan terhadapnya pada tahun 2023 dan Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) terpaksa membayar kos keseluruhan sebanyak CHF13,500 (RM68,960) kepada dirinya.