LIGA Wanita Nasional (LWN) 2024 menutup tirai dengan menyaksikan pasukan Kelana United merangkul trofi kejuaraan selepas menyingkir juara bertahan Sabah FA.
Kelana United yang dibimbing Fairuz Montana dan diketuai pemain senior kebangsaan Steffi Sarge Kaur berjaya berjaya membawa pasukan mengumpul mata maksimum 37 sepanjang 14 perlawanan keseluruhan dengan mencatat 12 kemenangan dan hanya masing mencatat satu kalah dan seri.
Manakala Sabah FA yang dibimbing jurulatih Justin Ganai mengumpul 31 mata selepas tiga kekalahan, dua seri dan sembilan kemenangan sepanjang musim berlangsung bermula Julai lalu.
Apa yang menarik, pertembungan terakhir kedua-dua pasukan yang berlangsung di Stadium Merdeka pada Sabtu malam menyaksikan perlawanan yang sangat ‘luar biasa’ kerana masing-masing tidak mahu tewas, seolah-olah aksi merebut trofi kemenangan (sebaliknya Kelana United sudah mengesahkan kejuaraan).
Semangat berjuang terutama bagi pasukan Sabah yang mahu menutup kempen ini dengan kemenangan tampaknya tidak kesampaian apabil gol lewat pemain Kelana United menyaksikan kedua-dua terikat seri 2-2.
Aksi rancak dengan layangan kad merah, kad kuning memeriahkan perlawanan selain daripada kemahiran individu yang menarik dipamerkan oleh semua pemain.
Satu lagi tarikan pada aksi penutup kempen ini adalah kehadiran penyokong kedua-dua pasukan. Kehadiran mungkin lebih kurang 1000-1500 pengunjung namun, sorakan itu cukup membuatkan semangat semua pemain di kemuncak seolah-olah beraksi di depan puluhan ribu penyokong.
Ia membuktikan bola sepak wanita tidaklah ‘sunyi’ daripada penyokong, sebaliknya kalau kena gaya, mampu menarik lebih ramai orang ke stadium. Pasukan Sabah yang bertandang ke Kuala Lumpur juga tidak ‘kosong’, sebaliknya sekumpulan penyokong-penyokong setia tidak diam dalam memberikan semangat, malah selepas perlawanan pemain-pemain berdepan dengan fans ini sambil menyanyikan lagu ‘Sabah Tanah Airku’.
Secara keseluruhannya, sepanjang LWN musim ini sebanyak lapan pasukan yang bertanding, menyaksikan jumlah positif berbanding edisi sebelumnya dengan enam pasukan.
Namun, dalam perkembangan yang baik dari segi penyertaan ini tercalit juga dengan laporan isu pembayaran gaji pemain dengan salah sebuah kelab. Sekiranya ia benar dilaporkan, ianya sesuatu yang agak mengecewakan memandangkan liga wanita ini bukanlah ‘besar’ seperti liga-liga pasukan lelaki.
Selain itu, badan induk bola sepak negara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), khasnya bahagian pembangunan bola sepak wanita sudah tiba masanya merancakkan program-program akar umbi, perbanyakan program perlawanan sekaligus mengumpul ‘pool’ pemain yang lebih besar untuk persediaan bagi skuad negara. Secara praktikalnya, ramai pemain-pemain muda yang berbakat, cuma platform mengetengahkan mereka agak terhad.
Berakhirnya setiap tahun Liga Wanita Nasional bukan bermakna sudah cukup FAM memberi perhatian kepada skuad wanita, sebalik banyak lagi kerja lagi yang perlu dilakukan. Hanya mereka yang menguruskan pasukan bola sepak sahaja yang tahu sama ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) skuad wanita keseluruhan tercapai atau sebaliknya, dan bukan hanya sekadar cukup syarat.
Bola sepak wanita bukanlah baharu ‘setahun jagung’ di Malaysia, sebalik sudah berdekad dan apa perubahannya?