MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa gembira dengan progress yang dilakukan Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam proses revolusi skuad Harimau Malaya yang akan bermula pada 2025.
Tunku Ismail kini yang berada di Qatar telah bertemu individu-individu hebat bola sepak dunia dan Hannah melihat perkara ini sebagai usaha berterusan pemilik Johor Darul Ta’zim itu membawa nama Malaysia dalam peta bola sepak dunia.
“Pada saya apa yang dilakukan sangat bagus kerana Pemangku Sultan Johor berterusan meletakkan Malaysia di peta dunia terutamanya apabila berkaitan dengan bola sepak.
“Saya juga tahu semua orang teruja dengan rancangan baru bola sepak Malaysia pada tahun 2025 dan saya bekerjasama rapat dengan FAM. Saya juga akan biarkan semua ini diuruskan oleh mereka.
“Kerana untuk kerajaan, kita bagi dana, kita bagi sokongan tetapi kita juga nak tengok prestasi dan ada KPI-nya,” katanya ketika ditemui di perlawanan akhir Liga Wanita Nasional 2024 di Stadium Merdeka pada Sabtu.
Terdahulu Tunku Ismail memuat naik ciapan yang menyatakan dia melakukan semua perkara ini demi kepentingan bola sepak negara dengan menggunakan segala kenalan dalam dunia bola sepak untuk kebaikan dan kemajuan pasukan kebangsaan.
“Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM, dan bekerja dengan pasukan saya sendiri untuk membantu pasukan kebangsaan dalam structure, kemudahan latihan, technology, exposure dan contacts dengan organisasi bolasepak berjaya yang saya kenali,” jelasnya.
Antara individu yang ditemui Tunku Ismail di Qatar adalah Presiden Fifa, Gianni Infantino, bekas pengadil Fifa, Pierluigi Collina serta pemilik Paris Saint Germain, Nasser Al Khelaifi serta Presiden Persatuan Sepak Bola Indonesia, Erick Thohir dan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam.
Perkara pertama yang telah dilakukan Tunku Ismail dalam proses revolusi ini adalah pengumuman Peter Cklamovski sebagai Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya manakala Nafuzi Zain dilantik sebagai Ketua Jurulatih Skuad B-23.